Pembantu khidmat am ditemukan lemas selepas keluar memancing

SEORANG pembantu khidmat am di sebuah sekolah rendah di Mersing yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Lenggor bersama dua saudaranya ditemukan lemas tengah malam tadi.

Mayat Mohamed Rizzurin Md Noh, 37, dari Felda Nitar 2 dan bertugas di Sekolah Kebangsaan Nitar ditemukan pasukan penyelamat pada jam 12.49 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas bagi mencari orang hilang di Loji Air Felda Nitar 2 pada jam 5.43 petang semalam.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, seramai 18 anggota digerakkan ke lokasi melibatkan 13 anggota dari BBP Mersing dan lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kluang, dengan bantuan lima anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kejadian lemas melibatkan seorang lelaki.  Operasi pencarian awal dilakukan di sekitar kawasan secara water surface, diikuti penggunaan empat bot fiber berkekuatan lapan orang awam bersama enam anggota PPDA yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Abdul Mu’iz, serta seorang saksi yang menaiki bot.

“Pencarian diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemukan oleh anggota PPDA yang membuat selaman di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Muiz, mayat mangsa yang difahamkan baru bertukar ke SK Nitar 2 pada Julai lalu diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Mersing untuk tindakan selanjutnya.

Tambah beliau, dua lagi saudara mangsa iaitu Muhammad Zul Hafeez Azman Adi, 29, dan Shahrul Izwan Sabaruddin, 36, pula ditemukan dalam keadaan selamat.

“Setelah memastikan keadaan terkawal, operasi ditamatkan pada jam 1.57 pagi ini,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img