KERAJAAN negeri Perak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) mencadangkan penutupan sementara kawasan persinggahan di FT185 Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands yang tular baru-baru ini susulan keadaan cerun di lokasi itu yang berisiko runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, semakan awal mendapati lokasi berkenaan berada di luar seliaan atau rizab JKR.
Beliau berkata, kawasan tersebut merupakan tanah tambak dan berisiko tinggi untuk berlakunya kejadian tanah runtuh berdasarkan keadaan semasa cerun berkenaan.
“Kawasan tanah runtuh itu terletak di Kompartmen 31, Hutan Simpan Bukit Kinta dan berada berhampiran kawasan kedai makan yang menjadi tumpuan pengunjung.
“Berikutan itu, JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohammad Nizar, tindakan penutupan lokasi berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.
Tambah beliau, kawasan kedai makan berkenaan telah diberikan kelulusan Permit Penggunaan bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum melibatkan keluasan 0.4 hektar.
Katanya, permit tersebut berkuat kuasa mulai 16 Mei 2025 hingga 31 Disember 2025 dan kelulusan itu dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
“Sebagai langkah keselamatan awal, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan mengeluarkan notis penutupan kepada pemegang permit mulai esok.
“Penutupan itu akan dilaksanakan selama tempoh satu bulan bagi membolehkan siasatan lengkap dijalankan,” katanya.
Sebelum ini tular dalam media sosial kawasan persinggahan popular pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands menerusi gambar pemandangan dari udara mendedahkan keadaan hakisan tanah di lokasi berkenaan.
Menerusi perkongsian seorang pengguna aplikasi TikTok, rakaman menggunakan dron menunjukkan sebahagian tanah berhampiran kawasan tempat makan itu telah terhakis, sekali gus menimbulkan kebimbangan.


