Polis berkas pemandu lori ais dalang 16 kes pecah masuk pejabat

SEORANG pemandu lori ais yang menjadi dalang sejumlah 16 kes pecah masuk premis termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (Peladang) di enam daerah sejak Jun lalu, akhirnya berjaya ditahan polis.

Suspek yang berusia 42 tahun ditahan di sebuah kilang ais di Taman Universiti, Skudai pada Ahad lalu hasil risikan dan makluman awam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, suspek menyasarkan premis pejabat kerana terdapat peti simpanan wang yang boleh dipecahkan.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah melakukan kegiatan pecah pejabat secara bersendirian pada waktu malam dengan mengeluarkan fius elektrik bagi memutuskan aliran arus elektrik di pejabat yang dipecah masuk.

Menurutnya, enam daerah terbabit adalah Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri.

“Suspek dipercayai terlibat dalam 13 kes pecah pejabat NADI dan dua kes pejabat Peladang manakala satu kes pecah rumah.

“Enam pejabat NADI di daerah ini yang dipecah masuk membabitkan Benut, Permas, Kayu Ara Pasong, Ayer Baloi dan dua di bandar Pontian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Hadzrat memberitahu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk motosikal, peti besi, peralatan memotong besi, telefon bimbit pelbagai jenama dan barangan kemas dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM24,000.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau, namun negatif saringan air kencing.

“Suspek kini direman selama enam hari sehingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dengan niat mencuri,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img