Lelaki didakwa ugut teman wanita, simpan gambar lucah

SEORANG pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah terhadap teman wanitanya yang merupakan seorang guru.

Tertuduh, Mohd Fazrul Azlan Khairuddin, 38, turut berdepan pertuduhan memiliki beberapa keping gambar lucah.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Fazrul didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada mangsa berusia 36 tahun dengan mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 November lalu sekitar jam 10 malam di sebuah rumah di Bertam dalam daerah Melaka Tengah.

Dia dakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama telah memiliki dalam simpanannya beberapa keping gambar lucah, satu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ikat jamin rendah dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai pekerja kontrak.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari tahun depan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img