Gagal berunding  punca kemelut , ADUN Pas didakwa tidak tandatangan baiah, dedah Ketua Ulama Pas Perlis

KETUA Dewan Ulama Pas Perlis Ahmad Adnan Fadzil berkata, punca utama kemelut politik negeri itu ialah kegagalan pihak yang sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Katanya, kegagalan berunding secara berkesan dengan pihak istana bagi pihak Pas, setelah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail  memaklumkan hasrat untuk menukar Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli akhirnya menyebabkan baginda  terpaksa bertindak menggunakan budi bicara baginda sepenuhnya.

Ahmad Adnan  berkata demikian dalam Facebook beliau, berikut catatan penuh tersebut:

Pas belum mampu menang dengan kekuatan sendiri sepenuhnya. Tidak dinafikan Pas kuat dari sudut jentera dan akar umbi, namun masih ada beberapa kekuatan penting yang belum dimiliki sepenuhnya, antaranya keyakinan sebahagian rakyat dan faktor kemesraan politik.

 Justeru, kemenangan Pas selama ini banyak dibantu oleh faktor calon, kelemahan parti lawan serta polemik isu semasa. Atas sebab itu, Pas memerlukan gabungan bagi menampung kekurangan tersebut. Buat masa ini, gabungan paling ideal ialah bersama Bersatu. Perikatan Nasional (PN) wajar dikekalkan.

Saya kekal dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis, termasuk tiga orang YB yang dihentikan keahlian. Begitu juga Bersatu, yang pada hemat saya tidak terlibat langsung dalam kemelut ini.

Punca utama kemelut ini ialah kegagalan pihak yang sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kegagalan berunding secara berkesan dengan pihak istana bagi pihak Pas, setelah Tuanku Raja memaklumkan hasrat untuk menukar menteri besar, akhirnya menyebabkan Tuanku Raja terpaksa bertindak menggunakan budi bicara baginda sepenuhnya.

 Dokumen yang ditandatangani itu (disebut-sebut SD) bukan dibuat di luar dan kemudian dibawa menghadap Tuanku Raja, sebaliknya ditandatangani di hadapan Tuanku Raja sendiri. Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal.

Saya juga dimaklumkan bahawa pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan MB baharu (Abu Bakar Hamzah) daripada Bersatu , Tuanku Raja masih membuka peluang untuk MB tersebut datang daripada Pas. Namun, ADUN-ADUN Pas gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja.

Saya turut difahamkan bahawa tiada sebarang baiah ditandatangani oleh calon-calon Pas Perlis semasa PRU-15. Perkara ini wajar disiasat dan diperjelaskan secara telus.

Oleh itu, dalam kemelut ini, meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil. Risikonya ialah tercetus desakan-desakan yang tidak perlu, termasuk perletakan jawatan yang juga sebenarnya boleh dielakkan.

Penulisan ini bukan lagi sekadar bertujuan mendamaikan, tetapi untuk membuka mata dan hati kita semua agar melihat perkara yang benar dengan lebih jujur dan adil.

Tiada sesiapa yang perlu meletakkan jawatan. Sebaliknya, ambillah kembali amanah yang ada, nilai semula kesilapan yang berlaku, dan lakukan pembetulan. Itulah jalan yang lebih matang dan bertanggungjawab.

Rentetan daripada itu, Kerajaan Perlis wajar terus ditadbir seperti sebelumnya, iaitu oleh Perikatan Nasional, dengan barisan Exco daripada gabungan Pas dan Bersatu, dengan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja.

PRK wajar dielakkan, kerana dalam keadaan kemelut yang sedang berlaku, PN berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan buat masa ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img