AWANG tabik atas keberanian Chegu Bad mendedahkan dakwaan penyelewengan dan rasuah dalam ATM. Sama ada bersalah atau tidak, biarlah SPRM tentukan.Kalau tengok akaun yang dibekukan dan barangan dirampas ‘ada sesuatu menarik’ sedang berlaku.
Semalam SPRM pun cakap ramai lagi individu terlibat. Awang ucap tahniah kepada agensi itu kerana bertindak tegas dalam kes ini. Maaf cakaplah masa mula-mula dengar kes ni Awang tak menaruh harapan sebab maklumlah individu yang terlibat bukan calang-calang.
Tetapi Alhamdulillah.. SPRM menunjukkan profesional yang tinggi apabila terus bertindak ‘menembusi tembok’ Kementerian Pertahanan. Kalau dengar cerita ramai terlibat dan jika tengok dokumen-dokumen yang tersebar agak mengejutkan…tetapi biarlah SPRM siasat.
Yang pentingnya sampai masanya rasuah dalam agensi kerajaan khususnya penguat kuasa dan keselamatan dihapuskan . Sebab Awang rasa keadaan macam sudah sangat serius. Apabila ATM ada kes seumpama itu ia hampir melengkapkan tiada lagi agensi penguat kuasa dan keselamatan yang tidak terlibat dengan rasuah.
Walaupun hanya melakukan perbuatan ini hanyalah segelintir tetapi mereka telah mencemarkan keseluruhan organisasi. Yang peliknya itu, biarpun dah tahu ada kawan-kawan yang dah kena masih ada pegawai atau anggota agensi penguat kuasa yang sanggup melakukan perbuatan rasuah.
Awang betul-betul tak faham puak ni…kuasa yang diamanahkan dikhianati sewenang-wenangnya kerana mahu hidup mewah dengan duit haram.
Pelik macam mana, mereka boleh tenang hidup sedangkan dalam tubuh mereka mengalir wang haram, menyara anak isteri dengan wang haram, beli barang-barang mewah hasil sumber haram.
Haram tetap haram…kalau tak dapat balasan dunia, dapat balasan akhirat…lebih perit semasa hayat dapat pelbagai penyakit…masa hasil rasuah berjuta-juta sesen pun tak guna.
Satu lagi yang Awang pelik yang peringkat atasan ini tak kiralah agensi mana atau jabatan mana sekalipun tak malu ke kat anak buah yang bersih, bila ambil rasuah dan salahguna kuasa. Bila bercakap dengan orang-orang bawahan bukan main hebat lagi, tetapi kat belakang orang bawahan tu lebih mulia daripada ‘bos’ dia.
Jadi Awang berharap SPRM akan terus banteras rasuah di semua agensi habis-habisan..jangan sekali berkompromi terutamanya melibatkan pegawai-pegawai atasan. Kalau bekas Perdana Menteri didakwa dan dipenjara manakala bekas menteripun disiasat, apa istimewanya pegawai-pegawai kanan kerajaan khususnya dalam agensi penguat kuasa dan keselamatan, tak kisahlah apapun pangkatnya.
Awang – tak suka benda haram


