Bekas pensyarah kolej dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bunuh Lans Koperal Valentino Mesa

SEORANG bekas pensyarah kolej dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, selepas mengaku bersalah membunuh seorang koperal polis pada 31 Ogos 2017.

Hakim Adlin Abdul Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chai Kong Wee @ Chia Kong Wee, 41, yang mengaku bersalah membunuh Lans Koperal Valentino Mesa kira-kira jam 3.25 pagi di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya.

Susulan itu, bapa dua anak itu mungkin menghabiskan sisa hidupnya di penjara kerana hukuman berkenaan berjalan berturutan dengan tiga lagi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi kes berasingan, iaitu pembunuhan seorang pengawal keselamatan dan melepaskan tembakan dalam dua kes rompakan bank.

Berdasarkan fakta kes pembunuhan Valentino, pada kira-kira jam 3 pagi, 31 Ogos 2017, Kong Wee pergi ke balai polis dengan alasan membuat laporan rompakan sebelum menyerang Valentino dari belakang menggunakan tukul, mengambil pistol mangsa dan menembaknya hingga mati, lapor Berita Harian.

Kong Wee yang ditahan pada 11 Mac 2022 membawa polis ke sebuah kereta yang menyimpan pistol berisi peluru didaftarkan atas nama Valentino.

Dalam mitigasi, peguam Jaspal Singh yang mewakili Kong Wee berkata, anak guamnya tidak mempunyai niat membunuh, berada di bawah tekanan emosi dan menghadapi kesukaran hidup serta mempunyai gangguan personaliti antisosial.

Susulan itu Jaspal memohon hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh kesalahan dan sebatan pada jumlah difikirkan sesuai.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman berhujah, walaupun mempunyai gangguan personaliti, Kong Wee mengetahui sifat dan akibat perbuatannya.

Beliau menyifatkan pembunuhan seorang anggota polis yang sedang bertugas sebagai jenayah kejam dan memohon hukuman mati.

Pada penghakiman bertulis bertarikh 22 Disember, Adlin menyatakan sebelum penangkapannya pada 11 Mac 2022, Kong Wee melakukan beberapa jenayah serius dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun secara berturutan serta 12 sebatan bagi tiga pertuduhan berasingan.

Pada 6 Ogos 2025, Kong Wee mengaku salah atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah sebuah bank di Subang Jaya pada 3 September 2020 dan membunuh pengawal keselamatan berusia 24 tahun, Muhammad Aiman Hakim Md Zakri, ketika rompakan bank di Puchong pada 11 Mac 2022.

Pada 13 Oktober 2025, Kong Wee sekali lagi mengaku bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah sebuah bank di sini pada 22 April 2020.

Kong Wee diperintahkan menjalani hukuman berkenaan secara berturutan selepas kes pembunuhan Valentino.

Susulan itu, Adlin berkata, Kong Wee melakukan kesalahan serius selama beberapa tahun tanpa kawalan dan mungkin terus berbuat demikian jika tidak ditahan pada 2022.

Beliau berkata, laporan psikologi menunjukkan Kong Wee tidak mengalami psikosis, mania, kemurungan atau pengaruh dadah ketika kejadian pembunuhan Valentino.

“Fungsi kognitif tertuduh adalah normal. Oleh itu, tertuduh berada dalam keadaan mental yang waras, menyedari sifat dan akibat tindakannya serta mengetahui perbuatan itu salah dan menyalahi undang-undang.

“Namun, gangguan personalitinya tidak mewajarkan hukuman mati, walaupun perbuatannya membunuh mangsa dengan tembakan dan serangan menggunakan tukul adalah perbuatan kejam,” katanya.

Adlin berkata, hukuman itu perlu mencerminkan pembunuhan adalah jenayah serius dan berfungsi sebagai pencegah daripada tertuduh melakukan kesalahan selanjutnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img