MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya seseorang Perdana Menteri menunjukkan prestasi baik dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara, ia tidak menjadi masalah biarpun memegang jawatan tersebut sehingga 10 penggal.
“Kalau prestasi PM bagus, berapa penggal pun tak mengapa, sehingga 10 tahun, 10 penggal pun tak ada masalah. Kalau prestasi PM itu tidak bagus, tak payah tunggu habis satu penggal,”katanya.
Sanusi berkata, had penggal boleh merugikan negara sekiranya seorang pemimpin yang dilantik pada usia muda, misalnya 40 tahun, terbukti cemerlang tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan perundangan tersebut.
“Kalau ada pemimpin muda dilantik sebagai PM pada umur 40 tahun dan prestasi bagus untuk rakyat dan negara, kita pula yang rugi bila dihadkan sebab dia tak boleh dilantik semula,” katanya lapor Sinar Harian.
Kata Sanusi, Anwar yang kini berusia 79 tahun mungkin sesuai dihadkan kepada dua penggal kerana jika dilantik bagi penggal berikutnya, usia beliau akan mencecah sekitar 85 atau 86 tahun pada penghujung tempoh tersebut.
“Anwar umur 79 tahun sekarang, sesuai hadkan kepada dua penggal sebab kalau jadi PM kali kedua, umur cecah 86 pada hujung penggal. Isunya di sini, bukan pada tempoh masa tetapi prestasi,” katanya.
SEMENTARA ITU, Ketua Penerangan Wanita PKR Datuk Ginie Lim berkata Cbadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal adalah langkah berani dan bertanggungjawab ke arah membentuk budaya politik baharu yang telus, progresif serta demokratik demi kemajuan Malaysia.
Katanya, ia menunjukkan tekad politik Anwar Ibrahim dalam menyegerakan pelaksanaan janji reformasi, setelah puluhan tahun berjuang di medan pembangkang, selain membuktikan kesungguhan beliau melakukan perubahan semasa memegang kuasa dan bukan selepas kehilangan kuasa.
“Dalam tempoh tiga tahun kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.
“Wanita PKR yakin, dengan pelaksanaan reformasi institusi yang berterusan, rakyat akan terus menikmati manfaat daripada kekayaan negara yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kepimpinan Anwar juga wajar terus disokong bagi penggal seterusnya bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh sekali gus membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah demi kebajikan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.
“Sehubungan itu, Wanita PKR menyatakan sokongan penuh kepada usaha Perdana Menteri untuk terus memimpin dan memperkukuh jentera kerajaan agar lebih mantap, berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan dasar fiskal serta ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.


