SEORANG daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas turun ke laut pada Jumaat lalu di perairan Sungai Dulang, berhampiran Jeti Sungai Tongkang ditemukan lemas pagi ini.
Mayat Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, ditemukan seorang nelayan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Pantai Sarang Burung, kira-kira jam 9.16 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mayat mangsa ditemukan di kawasan antara Perpat dan Punggur iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi bot mangsa dijumpai.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan tersepit pada kayu bakau.
“Nelayan terbabit kemudian menghubungi pasukan penyelamat dan mayat mangsa dibawa ke Jeti Sungai Tongkang menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Proses pengecaman awal dilakukan oleh ahli keluarga iaitu adiknya, Nur Syazalina Ahmad, 27, yang mengesahkan mayat tersebut adalah abangnya.
“Ia berdasarkan keadaan fizikal, pakaian, dokumen diri dan telefon bimbit yang dijumpai bersama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut.
Mohd Saiful Azli bersama rakannya, Mohd Fadzli Mesran, 41, dilaporkan hilang selepas keluar memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang, sekitar jam 6 petang pada Jumaat lalu.
Semalam gerakan SAR kedua-dua nelayan itu diperluas meliputi kawasan seluas 207 batu nautika (383.4 kilometer) selepas tiada petunjuk baharu ditemukan.


