
RUMAH sudah, pahat berbunyi. Begitulah bunyinya pepatah lama Melayu. Sepatutnya tidak, kita patut bergembira sahajalah sebab rumah sudah siap. Tapi hukum alam telah tersurat, walaupun sudah siap ada atap yang bocor, anak tangga yang hilang. Terpaksalah kita tegur dan bising agar diperbaiki dan kerosakan tidak diulangi lagi pada masa hadapan.
Begitulah. Apa pun tahniah pelancaran projek pencahayaan di Bukit Bintang oleh Perdana Menteri dengan idola yang diundang, Tan Sri Michelle Yeoh. Pelancaran ini juga bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. Tentunya pelancaran akan bertambah meriah jika Biduan Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut diundang di samping penyanyi irama Nusantara Norhaniza Idris.
Semuanya lancar dan bagus sekali. Cuma sedikit kekesalan kerana masih menggunakan tema atau slogan I Lite Uwalaupun kita percaya pihak berwajib seperti DBP telahpun memberi teguran dan nasihat serta cadangan. Nampak sangat kedegilan dan liatnya kementerian berkaitan untuk tidak menggunakan tema dalam bahasa rasmi negara.
Kedegilan dan “keliatan” jelas sehingga bersusah payah direka “akronim” untuk dipadankan dengan I Lite U tersebut iaitu “Infrastruktur Lampu Inovasi Teknologi Ekomampan ke arah Urbanisasi 2026.
Sungguh melucukan. Hendak dikatakan akronim pun bukan sebab sifat akronim dalam bahasa Melayu tidak terpisah-pisah. Mungkin inilah seperti kata pelakon Ahmad Nesfu dalam filem P Ramlee ” aku pengsan fesyen baru”, sebab itu aku sedar. Maka ini juga agaknya akronim “fesyen baru”, terpisah-pisah jadinya?
Begitulah hasilnya apabila yang kurang cerdik tidak mahu mendengar nasihat atau cerdik tetapi tidak boleh dijadikan ikutan? Perdana Menteri tidak boleh disalahkan. Pihak kementerian dan para pegawailah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memaklumkan dan menasihati beliau. Tidak mungkin untuk meminta seorang Perdana Menteri meneliti prosedur mencipta tema, slogan sama ada menepati sifat akronim atau tidak.
Idea akronim itu dipercayai ditimbulkan kemudian untuk “menghalalkan “I Lite U”. Begitulah juga dipercayai berlaku dalam kebanyakan isu berkaitan bahasa dahulu, terkini dan semoga tidak selamanya. Ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Belajarlah mendengar nasihat dan pandangan kedua daripada pihak lain, apatah lagi pihak yang berwibawa seperti DBP.
Peristiwa seumpama inilah yang menunjukkan bahawa DBP wajib diberi kuasa undang-undang melalui pindaan akta yang sepatutnya disegerakan untuk menghukum kerana terlalu banyak telinga yang semakin pekak dan tuli di negara ini atau berasa mereka lebih berkuasa daripada yang lain-lain dan boleh sahaja menyalah guna kuasa atau cuba bermain “silap mata” dalam isu bahasa khususnya. DBP sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal bahasa pun tidak dihormati.
Kita berharap mereka yang berkenaan segera diberi amaran keras oleh Perdana Menteri sendiri. Rakyat sentiasa bersedia menjadi mata dan telinga DBP di samping kerajaan sendiri. Bahasa kebangsaan, nadi dan tonggak negara ini. Bahasa Jiwa Bangsa.
*Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani,Majlis Perundingan Melayu (MPM)
*Jika ada mempunyai pandangan, komen mengenai artikel ini atau berhasrat mahu menghantar artikel di ruangan ini, emel kepada editor@utusanmelayuplus.com


