Peguam Negara putuskan kes Yayasan Budi libat Zahid tiada tindakan lanjut

KES Yayasan Akalbudi melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad  Zahid Hamidi, yang sebelum ini menyaksikan beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), kini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan,.

Ahmad Zahid sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah berkait kes tersebut bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memaklumkan, pihaknya mendapati keterangan yang ada, hasil siasatan susulan SPRM, tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

“Sehubungan itu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil dalam berhubung kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan kenyataan penuh AGC

Jabatan ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal – DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek- aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam (6) representasi yang dikemukakan kepada Jabatan ini selepas Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipanggil untuk membela diri.

Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, Jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

  1. skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan;
  2. pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan;
  3. langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes; dan
  4. dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Jabatan ini memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (“No Further Action”) akan diambil berhubung kes berkenaan.

Keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img