
KITA sudah memasuki tahun 2026. Nampaknya awal tahun ini menyaksikan permulaan yang tidak begitu baik sama ada dalam negara, mahupun luar negara.
Situasi politik, ekonomi dan pembangunan sosial awal tahun ini semakin meresahkan yang seolah-olah memberi petanda negatif tentang masa depan yang tidak menentu (uncertainty).
Banyak keresahan tahun lalu kelihatan terus terheret ke tahun ini yang memerlukan semua pihak termasuk kita sendiri memikirkan dan bertindak untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik serta bersedia menangani cabaran mendatang.
Nampaknya pada zaman ini, kita sendiri kena berusaha keras untuk berdikari terutama apabila krisis politik tiada berkesudahan atau bak kata seorang jutawan media Malaysia kepada saya baru-baru ini…’’suasana politik Malaysia sudah ‘gila babi’ ‘’
Bermula dengan teriakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang seperti mahu meredakan kemarahan akar umbi UMNO hinggalah politik dunia yang bermula ganas pada awal tahun ini berikutan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela.
Dalam bab ekonomi, telinga kita memang sentiasa ‘dilunakkan’ dengan kenyataan ekonomi berkembang dan kukuh. Dikatakan pertumbuhan sekitar 4-5 peratus dan kadar pengangguran berada di bawah 3%. Namun, realitinya apakah itu menjadi ukuran kepada kemakmuran ekonomi yang benar-benar dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat?
Pada awal tahun ini, saya bertemu beberapa kelompok usahawan.Mereka meluahkan keresahan tahun lalu yang menjadikan tahun ini semakin mencemaskan mereka.
Beberapa hari lalu, saya mendengar rintihan anak-anak muda tani yang sudah lebih 10 tahun berniaga lembu dan tanaman sayur-sayuran seluruh negara. Mereka tertekan dan hampir putus asa kerana mainan harga dan kawalan oleh kerajaan menjadikan perniagaan mereka semakin merugikan.
Dalam bidang tanaman, mereka amat kecewa apabila kerajaan gagal menyelaraskan pengeluaran sehingga penanam tempatan sentiasa rugi akibat mainan harga yang sudah berada pada tahap melampau.
Graduan-graduan saya ini (seluruh negara) menjelaskan tekanan saingan permit import pertanian dari luar negara, program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan terbaru program Sejati Madani telah mewujudkan lambakan pengeluaran yang akhirnya merugikan semua pihak.
Mereka mempersoalkan data penyelarasan pengeluaran pertanian yang pernah diuar-uarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) suatu masa dulu.
“ Mana penyelarasan pengeluarannya?” kata mereka kepada saya.

Anak-anak muda India yang kami sokong dalam program sekuriti makanan IGROW pula resah dengan cabaran ‘kartel lembu Bangla’ yang sudah sampai ke tahap menyakitkan hati.
Tauke-tauke Bangla yang mulanya menjual daging lembu untuk orang Bangla sahaja suatu masa dulu, kini sudah menguasai perdagangan lembu di Malaysia.
Kuasa beli mereka kuat kerana orang Bangladesh suka makan daging lembu. Tambahan pula mereka difahamkan berjumlah hampir sejuta orang di negara ini. Itu belum lagi termasuk yang tiada permit.
Penternak-penternak muda ini memberitahu saya bahawa mereka terpaksa menjual kepada Bangla dengan harga yang dikawal oleh golongan tersebut. Jika dulu mereka boleh menjual sehingga RM3,000 hingga RM4,000 seekor, kini hanya sekitar RM2,500 seekor. Mereka terpaksa menjualnya kepada Bangla bagi mengelakkan kos menjaga lembu yang semakin meningkat.
Menurut mereka lagi, setelah berkahwin dengan wanita tempatan, kini tauke Bangla sudah berkereta besar dan miliki lori mewah untuk membeli lembu tempatan. Lebih malang, kartel Bangla dikatakan dilindungi penguasa tempatan yang terlibat dengan ‘jual beli sisi gelap’ (terima imbuhan).
Menurut belia India ini, penguatkuasaan yang lemah dalam perniagaan itu menjadikan kartel Bangla semakin berani.
Awal tahun ini juga saya menerima sepucuk surat daripada pengusaha pusat latihan TVET swasta yang berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)
Mereka meminta diaturkan perjumpaan dengan n Menteri Sumber Manusia yang baharu, Datuk Seri R.Ramanan supaya isu kegagalan pembiayaan dan krisis pinjaman baru kepada pelatih TVET di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) tidak berulang. Ramai anak Melayu terpaksa balik kampung akibat masalah ini.
KESUMA bernasib baik pada tahun lalu apabila media kurang memberi tekanan terutama setelah pemimpin persatuan mendakwa, mereka seolah-olah ‘digertak’ oleh pihak-pihak tertentu di kementerian berkenaan.
“ Banyak bunyi, kami akan diberi amaran dan dipaksa menyediakan deraf permohonan maaf yang akan disemak pegawai,” kata seorang pemimpin persatuan.
Berikutan itu nasib pemain industri latihan tahun ini akan menjadi ‘hidup segan, mati tak mahu’. Ramai dijangka ‘gulung tikar’ dan situasi ini sudah tentulah bukan satu penyesalan kepada pihak yang berkuasa kerana masing-masing semakin sombong dengan jawatan dimiliki.
Akhir sekali saya sempat bertemu ketua-ketua Persatuan SME Cina yang menegaskan Tahun Baru Cina tahun ini ‘tidak ong’ (tuah yang baik) bagi mereka.
Mereka sudah membuat kenyataan media kepada akhbar Cina bahawa pada tahun lalu dua sektor perniagaan iaitu makanan dan logistik antara paling rugi dan terjejas sehingga kejatuhan sebanyak 50 peratus. Puncanya adalah isu cukai, kenaikan kos perniagaan dan pengangkutan yang mengurangkan keuntungan mereka.
“Ini kali tiada bonus ang pow kepada pekerja macam dulu” kata Pengerusi Persatuan SME Cina kepada saya.
Perasaan geram mereka telah diterjemahkan ketika pilihan raya negeri (PRN) di Sabah tahun lalu apabila DAP dan Pakatan Harapan gagal mendapat undi Cina. Kekalahan DAP di ke semua lapan kerusi DUN yang ditandingi, turut mengejutkan arena politik di Semenanjung.
Seperkara ramai ibu bapa tertekan dengan kos perbelanjaan persekolahan anak-anak. Utusan Malaysia melaporkan bahawa ramai ibu bapa terpaksa menggadaikan barang kemas untuk tujuan itu.
Kajian menunjukkan setiap anak yang bersekolah memerlukan sekitar RM300-RM500 seorang untuk kelengkapan baru.
Saya sendiri didatangi ramai ibu bapa yang memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos perbelanjaan persiapan persekolahan anak-anak. Senario itu tidak berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.
Bayangkanlah gaji sebagai pemotong rumput dan pengawal keselamatan contohnya, tidak cukup untuk membiayai keperluan asas harian, inikan pula bila tiba musim persekolahan. Memang sakitlah jawabnya.
Atas dasar ihsan, ada yang saya bantu dan ada pula melalui sumbangan pemimpin seperti Ramelle Ashram Tun Ramli (Kg Gajah, Perak). Kami berdua bersahabat baik. Selain itu, saya juga berusaha menghantar mesej kepada mereka yang bergelar wakil rakyat dan Pegawai Khas Menteri Besar. Faham-faham sahajalah…tiada jawapan.
Oleh itu bagi tahun 2026 ini bukan masa lagi untuk kita meneruskan polemik politik yang memualkan. Sikap leka dengan jawatan dalam kerajaan dan gagal menangani keperluan sebenar rakyat pada tahun-tahun terakhir pemerintahan kerajaan sekarang perlu dihapuskan segera.
Apalah ertinya kita mencanangkan segalanya ‘bagus’ dan ‘ok’ tetapi hakikatnya kita masih gagal menterjemahkan realiti ekonomi untuk sampai ke poket rakyat dalam ertikata sebenar.
Ingatlah pilihan raya umum perlu diadakan selewat-lewatnya Disember tahun depan..ketika ini mungkin rakyat sedang memendam rasa untuk ‘menjatuhkan hukuman’ melalui undi yang mereka miliki. Bersedialah…saya pasti kali ini ia akan berlaku! Insha-Allah.
- Penulis adalah usahawan dan penganalisis sosioekonomi


