Aaron-Wooi Yik raih naib juara Terbuka Malaysia

IMPIAN beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan kemarau kejuaraan beregu lelaki di laman sendiri masih belum menjadi kenyataan apabila mereka terhenti di pentas final Terbuka Malaysia.

Pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil petang ini, pasangan ranking kedua dunia itu berdepan tentangan sengit sebelum akur kepada keunggulan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 18-21.

Keputusan tersebut menyaksikan penantian Malaysia untuk melihat wakil beregu lelaki menjulang gelaran di kejohanan berprestij itu berlanjutan sejak kejayaan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.

Aksi pembukaan menyaksikan kedua-dua pasangan berbalas serangan dan mengutip mata secara seimbang sebelum pasangan Korea Selatan mula mengawal permainan untuk memenangi set pertama 21-15.

Aaron-Wooi Yik kemudian meningkatkan tempo permainan dengan sokongan padu penonton tempatan, sekali gus mempamerkan kebangkitan meyakinkan pada set kedua.

Gandingan negara itu mendahului 11-6 pada waktu rehat sebelum terus menguasai gelanggang bagi memaksa perlawanan ditentukan menerusi set ketiga selepas menang 21-12.

Namun, ketenangan dan disiplin tinggi yang dipamerkan Won Ho-Seung Jae pada set penentuan menjadi pemisah apabila mereka berjaya menutup perlawanan dengan kemenangan 21-18 meskipun menerima tekanan berterusan daripada wakil negara.

Sebagai juara, pasangan Korea Selatan itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$107,300 (RM439,232), manakala Aaron-Wooi Yik menerima AS$50,750 (RM207,745) selaku naib juara.

Dalam saingan lain, gelaran perseorangan lelaki menjadi milik pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn selepas lawannya dari China, Shi Yu Qi terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Shi Yu Qi mengambil keputusan tersebut ketika ketinggalan 1-6 pada set kedua selepas tewas 21-23 pada set pertama.

Sementara itu, pemain Korea Selatan, An Se Young terus mengukuhkan penguasaannya dalam perseorangan wanita apabila muncul juara Terbuka Malaysia buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan wakil China, Wang Zhi Yi 21-15, 24-22.

China turut mendominasi acara beregu apabila Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menjuarai beregu campuran dengan menewaskan rakan senegara, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-19, 21-19.

Dalam beregu wanita pula, pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning muncul juara selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-18, 21-12.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img