‘’Rasuah dalam apa jua bentuk di MINDEF harus berakhir!” – Khaled

“RASUAH atau persepsi rasuah, dalam apa juga bentuk di MINDEF (Kementerian Pertahanan) ini harus berakhir! Tidak akan ada toleransi terhadap apa juga kecurangan. Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda adalah penyebab sektor keselamatan kita dikompromi,’’ tegas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu beliau menegaskan, pada tahun ini, pelan antirasuah MINDEF ini akan dirombak secara besar-besaran.

‘’Segala proses tender dan perolehan akan kita semak semula dan perbaiki selari dengan amalan terbaik. Seruan saya adalah untuk anda semua turut serta bersama-sama saya bagi membersihkan segala bentuk ketirisan dan kecurangan, walau siapa pun yang melakukannya. Rasuah adalah ancaman dari dalam yang akan menewaskan kita tanpa perlu ke medan peperangan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di Wisma Perwira, Kuala Lumpur  hari ini.

Beliau berkata, perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026, antaranya berkaitan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.

Mohamed Khaled menegaskan, rasuah menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu dan mengancam keselamatan anggota tentera.

“Rasuah menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan serta mengurangkan keberkesanan kita sebagai agensi pertahanan nasional yang utama. Ia merosakkan keperibadian anggota kita yang terdidik dengan disiplin.

“Rasuah adalah barah yang menyebabkan kita tidak mampu bersaing sebagai sebuah negara kuasa pertengahan dan kerana rasuah, berlaku ketirisan dan akhirnya kita tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tanah air dan anggota kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan terus memoden dan memperkasa kesiapsiagaan aset pertahanan negara, selaras dengan aspirasi pembangunan Angkatan Masa Hadapan.

Beliau berkata, beberapa aset pertahanan baharu dijangka diterima pada tahun ini dalam memperkuatkan dan memperkukuhkan lagi kedaulatan negara

“Antara aset yang besar bakal diterima adalah empat unit pesawat Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA); tiga unit Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dan lima bot Fast Interceptor Craft (FIC).

“Pada tahun ini juga, kita akan mula melaksanakan perolehan aset -aset strategik baharu. Antaranya adalah Perolehan sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD); Perolehan sistem Short Range Air Defence (SHORAD); Perolehan Multi Role Support Ship (MRSS); dan Perolehan Medium Range Air Defence (MERAD),” katanya.

Mohamed Khaled berkata, MINDEF juga akan memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri pertahanan negara demi merealisasikan hasrat menjadikan negara ini memiliki keupayaan pertahanan tempatan serta kedaulatan teknologi pertahanan yang berdaya tahan dam sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

“Insya-Allah pada bulan ini, kita akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), satu dokumen yang melakar hala tuju yang jelas untuk membina industri pertahanan yang kukuh, berdaya saing dan mapan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img