PENDIRIAN tegas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan kontroversi penternakan babi di negeri itu mencerminkan kebijaksanaan Raja Berperlembagaan yang berpaksikan tuntutan agama, kepentingan awam dan keharmonian sosial.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, titah baginda itu perlu dikuatkuasakan melalui tadbir urus kerajaan berserta penguatkuasaan undang-undang.

‘’Ia wajar menjadi pedoman kepada semua pihak khususnya kerajaan dan agensi berkaitan, agar setiap dasar serta tindakan yang diambil bukan sahaja selari dengan prinsip toleransi, tetapi mesti berjalan seiring dengan ketegasan mempertahankan kesucian agama, kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bagi mengulas titah Sultan Sharafuddin yang mahu kawasan penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan ke Bukit Tagar secara berfasa.
Selain itu baginda juga menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Senator Datuk Salehudin Saidin dan Mufti Negeri Selangor Datuk Dr. Anhar Opir untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan LGBT.
Hamzah seterusnya berkata, sebarang usaha menormalisasikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan agama, jati diri serta nilai-nilai kemanusiaan perlu ditangani dengan tegas, manakala isu penternakan babi mestilah melalui pematuhan ketat kepada peraturan alam sekitar, kesihatan awam, zon guna tanah dan sensitiviti masyarakat setempat.


