SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap platform X, susulan kegagalannya menangani aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya, Grok.
Tindakan undang-undang itu menurut MCMC, akan diambil dalam tempoh terdekat terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC berikutan kegagalan mereka memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.
“MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya. Ini termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
“Notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang namun tiada tindakan pemulihan telah diambil,” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini memaklumkan, MCMC sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X, susulan kegagalan aplikasi AI miliknya Grok mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.
Menurut Fahmi, langkah itu dipertimbangkan berikutan maklum balas yang diterima MCMC daripada pihak X didapati tidak memadai dan bersifat proforma (sekadar mengikuti tata cara yang berlaku).
Mengulas lanjut, MCMC dalam kenyataannya berkata, kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan kerana ia menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan.
“X Corp. dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna. Mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan, serta langkah mitigasi risiko bagi Grok. Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi.
“MCMC mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri. Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
MCMC turut menegaskan, pihaknya komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam. Semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendaklah mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkenaan.


