TIGA lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah termasuk seorang wanita dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai tengah hari tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Pegawai Bomba Kanan I Che Razak Harun berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena yang dinaiki empat lelaki, manakala seorang lelaki dan seorang wanita pula menaiki van jenis Toyota Hiace.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.01 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi pada jam 1.43 petang, pasukan mendapati enam mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut iaitu tiga lelaki dalam kereta Nissan Serena meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Menurut Che Razak, dua lagi mangsa termasuk seorang wanita yang menaiki van turut cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.


