Polis rampas dadah RM2.07 juta, tahan lima lelaki jadikan rumah teres sebagai stor

POLIS Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Ogos tahun lepas selepas menyerbu sebuah rumah teres setingkat di Taman Bukit Indah, Johor Bahru minggu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.20 petang 9 Januari lalu itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM2.07 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan yang disertai anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat 21.75 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.45 juta.

DATUK Ab Rahaman Arsad menunjukkan suspek dan dadah yang dirampas selepas menyerbu sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, dalam sidang media di IPK Johor hari ini. GAMBAR: Facebook Polis Johor

“Hasil risikan berterusan, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 43 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan negara jiran.

“Suspek pertama berperanan sebagai ketua manakala yang lain ahli sindiket. Sindiket ini dikesan menjadikan rumah teres sebagai tempat penyimpanan atau stor dadah sebelum diedarkan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.

Menurut Ab Rahaman, dadah yang dirampas adalah syabu seberat 15.29 kg, serbuk MDMA (5.37 kg), pil ekstasi (338.70 gram), ketamin (297.10 gram), ganja (798 gram) dan pil Yaba (159.50 gram) selain pelbagai peralatan menghisap serta pembungkusan semula dadah.

Beliau berkata, kesemua rampasan dadah itu dianggarkan mampu merosakkan 98,203 orang penagih.

Tambahnya, siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kesemua suspek positif dadah methamphetamine dan kini direman sehingga 16 Januari. Semakan rekod jenayah lampau mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Selain itu, katanya, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah sitaan bernilai RM616,010 melibatkan enam kereta, dua motosikal, wang tunai RM270,150 dan sebentuk cincin emas.

Ab Rahaman memberitahu, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka terlibat pengedaran dadah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img