KERJASAMA dan gabungan kuasa merupakan sebahagian daripada realiti landskap politik negara kini, namun ia tidak sesekali boleh mengorbankan prinsip, maruah dan hala tuju perjuangan UMNO.
Ketika menegaskan perkara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik mesti berpaksikan identiti dan pendirian parti, bukan didorong oleh keperluan sementara atau tekanan pihak tertentu.
“Gabungan boleh berlaku. Tetapi maruah, prinsip dan hala tuju UMNO tidak boleh dikompromi sama sekali. Kita tidak boleh masuk ke mana-mana kerjasama politik tanpa arah yang jelas, tanpa pendirian yang tegas, dan tanpa strategi yang tuntas,’’ katanya.
Berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Puteri di Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Nurul Amal menegaskan, kerjasama bukan lesen untuk menggadaikan prinsip, menghilangkan identiti, atau berdiam diri bila suara perlu didengar dan ia juga bukan kerana terpaksa atau demi kelangsungan sementara.
“Puteri UMNO mahu UMNO berada dalam kerjasama sebagai rakan yang relevan, rakan yang dihormati, rakan yang membawa nilai dan solusi dan rakan yang membawa kebaikan kepada parti,” tegasnya.
Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, wakil-wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah; dan Datuk Seri Ahmad Ismail serta barisan kepimpinan Puteri UMNO.
Nurul Amal turut mengingatkan bahawa UMNO ditubuhkan bukan semata-mata untuk mengejar kuasa, sebaliknya untuk memikul amanah besar dalam menjaga maruah orang Melayu serta menjamin kestabilan negara.
“Asas perjuangan UMNO berpaksikan satu perkara yang tidak boleh digugat, iaitu kepercayaan rakyat. Tanpa kepercayaan, UMNO kehilangan kewibawaan untuk berdiri sebagai entiti yang mempertahankan kepentingan Melayu,” ujarnya.
Beliau menyifatkan hubungan antara UMNO dan orang Melayu sebagai satu simbiosis yang akrab, ibarat dakwat dan kertas, di mana menjaga rakyat bermaksud menjaga amanah.
Sehubungan itu, Puteri UMNO menyeru agar kepimpinan parti sentiasa menghayati roh perjuangan UMNO melalui kejujuran kepimpinan, keikhlasan membetulkan kesilapan serta kesungguhan memulihkan keyakinan rakyat.
Mengambil iktibar daripada ketidakstabilan politik negara sejak 2018, Nurul Amal menegaskan keutamaan UMNO hari ini adalah memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Puteri UMNO memohon agar kepimpinan menilai secara teliti implikasi untuk kekal bersama atau sebaliknya, berasaskan matlamat penubuhan UMNO, demi menjamin kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata, mengingati sejarah penubuhan UMNO bukan sekadar mengenang masa lalu, tetapi sebagai peringatan bahawa amanah rakyat mesti terus dipelihara agar UMNO kekal relevan sebagai pelindung agama, bangsa dan tanah air.


