DUA pemancing yang pada mulanya menyangkakan objek tenggelam timbul di tengah Sungai Kelantan pagi ini adalah ikan besar terperanjat apabila menyedari ia rupa-rupanya seorang wanita yang sedang terkapai-kapai kelemasan terjatuh ke dalam sungai itu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika kedua-dua mereka keluar memancing menaiki bot berasingan di sungai tersebut.
Salah seorang pemancing itu, Engku Aris Raja Yaacob, 68, berkata, dia yang menaiki bot dari Kampung Kutan, Wakaf Bahru, sedang mencari lokasi untuk memancing, tiba-tiba dipanggil rakannya yang menaiki bot di hadapan.
Katanya, rakan memberitahu ternampak objek di dalam sungai dan menyangkakan ikan besar sebelum kami melihat objek terbabit tenggelam timbul dan menyedari ia seorang wanita.
“Saya melompat masuk ke dalam bot rakan dan kami menghampirinya sebelum mencapai tangan wanita yang sudah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
“Wanita itu memakai pakaian lengkap dan tidak mengeluarkan suara kerana keadaannya sangat lemah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut Engku Aris, dia dan rakannya menarik wanita yang dianggarkan berusia lingkungan 50-an itu perlahan-lahan ke tebing sungai menggunakan bot sebelum pasukan Unit Marin Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba.
Sementara itu, Pegawai Unit Marin APM, Mansor Ab Rashid berkata, enam anggotanya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita tidak pasti warganegara dalam keadaan masih bernyawa berada di tebing sungai dengan dikawal bot orang awam.
“Mangsa diangkat ke darat dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan dan tindakan lanjut,” katanya.


