POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai kanan pasukan itu selepas menahan tiga individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia antara 28 hingga 46 tahun ditahan pada 11 dan 12 Januari lalu.

Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima polis daripada mangsa, iaitu seorang penuntut wanita berusia 18 tahun pada 10 Januari.
Mangsa mendakwa dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai pegawai berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan kononnya wanita itu terlibat kes pengubahan wang haram dan perlu menyerahkan barangan berharga untuk siasatan.
“Mangsa yang terperdaya mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM70,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hari ini.
Menurut Mohamad Lazim, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk sebuah kereta, beg tangan, telefon bimbit, barangan kemas, wang tunai RM560 serta dua ketulan emas seberat 172.77 gram.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM132,360 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Seorang daripada suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan dan tidak panik walaupun pemanggil mengaku sebagai pihak berkuasa.
“Polis menegaskan sebarang urusan rasmi memerlukan kehadiran fizikal di balai polis atau IPD dan tidak akan diselesaikan melalui panggilan telefon semata-mata,” katanya.
Orang awam dinasihatkan tidak menyerahkan wang, barangan berharga atau maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan akaun dan nombor telefon melalui laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule/.


