PAS mewajibkan ikatan baiah ketaatan, dengan syarat yang bukan maksiat, ke atas semua pemimpin dan calon yang bertanding, supaya ketaatan tersebut berpegang kepada prinsip Islam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas juga mengharamkan ketaatan dalam perkara haram seperti salah laku, rasuah dan sebagainya, dan tetap berpegang kepada prinsip walaupun dikalahkan dalam pilihan raya, hilang wakil rakyatnya, atau jatuh sebuah kerajaan.
‘’Jangan ada lagi dalam kalangan Pas yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang berdasarkan al-Quran dan hadis, lalu merujuk dan merayu kepada musuh Islam yang nyata,’’ katanya dalam ruangan Minda Presiden Pas.
Dalam artikel bertajuk ‘Konsep Ketaatan Dalam Islam’, Abdul berkata, semua ahli Pas di semua peringkat diwajibkan taat kepada arahan parti dan setia kepada baiah yang diucapkan, yang mewajibkan setia kepada Allah dan Rasul, serta pemimpin yang diucapkan dalam baiah.
‘’Pemimpin Pas pula wajib menunaikan amanah dengan bertindak dan menghukum secara berjemaah, bukan secara bersendirian. Pada masa yang sama, dengan mengamalkan syahadah dan tabayyun terhadap kesalahan yang dilakukan melalui saksi dalaman dan siasatan yang adil daripada semua pihak yang beramanah, bukan satu pihak sahaja,’’ katanya.
Beliau berkata, segala perkara hendaklah dikembalikan semula kepada ucapan baiah yang dilafazkan, yang terikat dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul yang paling tinggi.
‘’Bahkan, lafaz ini tidak terikat dengan sesiapa pun, termasuk setinggi-tinggi institusi istana kerana akidah perjuangan yang dipegang menegaskan kewajipan menegakkan Islam dengan meletakkan Allah dan Rasul pada kedudukan yang paling tinggi mengatasi segala-galanya,’’ katanya.


