MINDEF dan PDRM akur arahan pembekuan perolehan

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berhubung arahan pembekuan sementara kelulusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya juga akan meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan dan perundangan yang berkuat kuasa.

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin

Beliau berkata, MINDEF turut akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembekuan sementara kelulusan perolehan yang berkaitan dengan isu rasuah.

“Dalam meneliti perkara ini, Kementerian Pertahanan sewajarnya perlu memberi pertimbangan serius terhadap keperluan memastikan tahap kesiapsiagaan serta kelangsungan operasi pertahanan negara kekal terpelihara dan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan menerusi X hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, pada masa yang sama, pihaknya akan menilai secara mendalam implikasi keputusan ini terhadap pelaksanaan perolehan sedia ada, termasuk kontrak yang telah dimeterai, dengan mengambil kira obligasi kontrak sedia ada, keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara secara menyeluruh.

“Sebagaimana yang diumumkan awal minggu ini, Kementerian Pertahanan juga sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri hari ini mengarahkan semua kelulusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Menurut Anwar, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM akan memastikan setiap proses perolehan dilaksanakan mengikut prinsip tadbir urus yang baik demi memelihara kepentingan awam serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara.

Menurut beliau, PDRM mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri berhubung urusan perolehan melibatkan pasukan itu dan akan melaksanakan tindakan sewajarnya secara profesional.

DATUK Seri Mohd Khalid Ismail

“PDRM akan melaksanakan segala tindakan yang perlu secara profesional, telus dan berintegriti, selaras dengan undang-undang, dasar serta arahan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img