Suami isteri maut dalam kebakaran kuarters pekerja ladang di Baram

SEPASANG suami isteri pekerja ladang ditemukan rentung manakala enam lagi penghuni terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan kuarters pekerja di sebuah ladang di Baram, dekat Miri, Sarawak awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang maut ialah Berain Skam dan isterinya, Terit Lenjau, kedua-duanya berusia 37 tahun yang menghuni Unit A kuarters terbabit.

Mereka terselamat pula terdiri daripada lima individu dewasa dan seorang kanak-kanak yang menghuni Unit B.

“Kebakaran itu melibatkan struktur kuarters kayu berkembar setingkat, satu blok dua pintu, dengan keluasan dianggarkan 40 x 30 meter persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.

Pemadaman awal telah dilakukan oleh pekerja ladang menggunakan 30 unit alat pemadam api serta tiga unit pam air sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap itu.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.16 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada risiko kebakaran berulang manakala punca kebakaran sedang disiasat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img