SEORANG pemandu dan dua kanak-kanak maut apabila kereta Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Proton S70 di Jalan Sungai Kob, Kulim petang tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang membabitkan Perodua Viva dinaiki ketiga-tiga mangsa dan sebuah Proton S70 dipandu seorang lelaki yang bertembung dan terbabas ke bahu jalan.

Polis mengesahkan identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan itu adalah seorang bapa dan dua anak lelakinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, mangsa adalah Muhammad Syazwan Surodjidin, 25, seorang pekerja kilang serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan Muhammad Syazwan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.
Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah Proton S70 dan Perodua Viva, jam 5.15 petang.
“Lelaki yang juga pemandu Perodua Viva serta dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada Proton S70 yang hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva.
“Pemandu kereta Proton S70 berusia 27 tahun adalah pekerja bengkel kereta dan kecederaan yang dialaminya masih dalam pemeriksaan, ” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Tengku Mohd Faisal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim dan akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 5.09 petang.
Menurut beliau, sepasukan lima anggota dari BBP Kulim Hi-Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Yazan Yahaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan memaklumkan kemalangan membabitkan dua kereta dan terdapat tiga mangsa tersepit dalam salah sebuah kereta.
“Sebaik sahaja tiba didapati, pemandu kereta Perodua Viva tersepit di dalam kereta manakala dua kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kereta Proton S70 dilaporkan terbakar di tempat kejadian dan pemandunya seorang lelaki berjaya keluar dari kereta dan cedera ringan sebelum dibawa ke Hospital Kulim, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmir, dua kanak-kanak lelaki di bahagian penumpang kereta Perodua Viva dikeluarkan dengan bantuan orang awam manakala pemandunya tersepit.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas. Kereta yang terbakar dipadamkan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulim, ” katanya.
Azmir berkata, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 6.16 petang.


