PANTAI Teluk Kalong di Chukai, Terengganu yang tercemar dengan tumpahan kira-kira 7,000 tan metrik arang batu daripada sebuah tongkang yang hanyut dan pecah di pantai itu minggu lalu akan dibersihkan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, wakil syarikat tongkang yang mengangkut bahan bakar itu telah bersetuju untuk membersihkan pantai berkenaan.

“Setakat ini dimaklumkan syarikat tersebut sedang dalam proses pemilihan kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan berkenaan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan bersama pihak bertanggungjawab kes tongkang pecah di Pantai Teluk Kalong hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Menurut Hamzah, syarikat terbabit memaklumkan kerja-kerja pembersihan itu dijangka mengambil masa selama sebulan.
Katanya, tongkang yang tersadai itu juga akan dikeluarkan dari kawasan pantai berkenaan, namun proses berkenaan dijangka mengambil masa agak lama berikutan kerumitan operasi.
“Berdasarkan penjelasan pihak terlibat, tongkang yang membawa arang batu itu dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam, namun terkandas di pantai ini akibat tiupan angin yang kuat,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, kerajaan negeri berharap pantai tersebut yang menjadi tumpuan pelancong dapat dibersihkan segera.
“Kerajaan negeri akan memantau kerja-kerja pembersihan itu sehingga pantai kembali bersih seperti asal.
“Dalam pada itu pengunjung tidak perlu bimbang kerana arang batu terbabit bukan merupakan bahan buangan berjadual dan tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.


