
KERAJAAN mengarahkan universiti menambah 1,500 tempat bagi kursus pilihan utama, sekali gus menjadikan keseluruhan 3,000 tempat tambahan ditawarkan pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilakukan kerana kerajaan memahami kebimbangan yang timbul setiap tahun berhubung peluang kemasukan ke universiti susulan kekangan tempat bagi kursus pilihan, termasuk rungutan dalam kalangan pelajar kaum minoriti yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi berdepan kesukaran mendapatkan tawaran.
Katanya, penambahan itu melibatkan kursus undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI), ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, komunikasi, pengajian media, sains data, analitik data serta sains komputer.
Anwar berkata, bagi mengurangkan kebimbangan pelajar, keutamaan kemasukan terus diberikan kepada lepasan matrikulasi dan asasi, namun kerajaan turut memberi jaminan bahawa pelajar Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak akan dipinggirkan.
“Bagi pelajar yang memperoleh PNGK 4.0, sedaya upaya universiti akan memberikan tempat, walaupun pilihan kursus tertakluk kepada keupayaan universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu juga, Anwar mengumumkan pembelajaran Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia akan diperkenal menerusi mata pelajaran umum di semua universiti termasuk swasta kepada seluruh pelajar tempatan mulai tahun ini.
Beliau berkata, dua bidang itu akan diajar dalam bahasa Melayu dan dimasukkan dalam kurikulum mata pelajaran umum yang sudah dirombak semula.
“Di peringkat pendidikan tinggi, kita tak wajib bahasa Melayu dan sejarah tapi mulai tahun ini kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang dirombak semula dan diajar dalam bahasa Melayu di seluruh universiti awam (UA) dan swasta bagi pelajar Malaysia.
“Isu Perlembagaan (Persekutuan), isu sejarah Malaysia itu dimasukkan dalam kurikulum, ia tidak terlalu menekan dan kita tetap mahu anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih,” katanya.
Anwar berkata, tidak wajar bagi seorang anak Malaysia tidak mengerti mengenai sejarah negara.


