AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot kargo kira-kira 0.2 batu nautika barat Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan sekitar jam 5.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan seorang lelaki berusia 41 tahun yang bertindak sebagai nakhoda bersama dua kru masing-masing berusia 26 dan 32 tahun.
“Ketiga-tiga mereka adalah warga Myanmar dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan dokumentasi mendapati, bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen kerana nahkoda gagal mengemukakan lesen 500GT Domestic Trade Vogayes, buku pelaut mengaji kru warga asing dan gagal mengaktifkan sistem AIS bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, bot kargo berkenaan bersama nakhoda dan kru dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang gagal mematuhi undang-undang maritim yang ditetapkan.


