‘’Kami tidak akan pilih kasih!’’ – Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi serta tidak memilih bulu atau pangkat dalam menjalankan siasatan melibatkan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang tegas mahu rasuah diperangi.

“Pertama sekali, saya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong atas titah ucapan yang tegas mahu memastikan supaya isu rasuah, salah guna kuasa dan juga peningkatan integriti dilaksanakan dengan begitu tegas terutama oleh SPRM.

“Jadi, mandat yang kita terima ini terutama sekali daripada titah Yang di-Pertuan Agong, akan kita laksanakan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek dan Perasmian Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bandar Enstek, Nilai hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 semalam turut menyebut nama beberapa agensi.

“Yang di-Pertuan Agong menyebut sektor yang biasa kita dengar, yang perlu kita pergiatkan lagi, perlu kita clean up  isu rasuah dalam pelbagai agensi di negara ini. Menyebut agensi yang sedang disiasat ini, kami bergerak menyiasat kes dengan lebih efektif.

“Kami tidak akan memilih kasih, memilih bulu dan sebagainya, tak kira kelas seseorang dan ini sebenarnya telah dibuktikan SPRM sejak beberapa tahun lalu lagi.

“Kalau ada yang masih memandang kami hanya menyiasat ‘ikan bilis’, terpulang. Ini semua persepsi, pada saya mereka hanya mahu melihat kejatuhan SPRM sahaja,” katanya.

Media semalam melaporkan Sultan Ibrahim percaya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes yang ada.

Seri Paduka Baginda yakin ada ramai lagi perasuah di luar, sama ada daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu diburu sehingga berjaya ditumpaskan.

Mengenai MACA di Bandar Enstek, Azam berkata, pusat latihan itu akan digunakan bermula bulan depan dengan kapasiti 300 pelatih pada satu-satu masa.

“Sebanyak RM4 juta kos untuk tambah baik bangunan sedia ada dan ada lagi yang perlu kita tambah baik pada masa akan datang.

“MACA di Jalan Duta, Kuala Lumpur, saya rancang untuk jadikannya hab latihan di Asia Pasifik bagi kursus domestik dan antarabangsa memandangkan SPRM banyak berhubung dengan pihak luar negara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img