SEORANG bekas pengurus di syarikat perunding kewangan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk permohonan pembiayaan peribadi berjumlah RM304,000, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Syamim Mohd Yusof, 34, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda dan tertuduh membayar denda itu.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Mohammad Syamim didakwa menggunakan tiga bil elektrik palsu atas nama tiga individu bagi tujuan permohonan pembiayaan peribadi berjumlah RM164,000, RM85,000 dan RM55,000 masing-masing milik tiga individu lain, di sebuah bank di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 19, 20 Oktober dan 20 Disember 2022.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau keduanya.
Berdasarkan fakta kes, syarikat tertuduh yang ditubuhkan pada 23 April 2021 menawarkan perkhidmatan penyelesaian masalah kewangan kepada pelanggan yang memerlukan pinjaman bank, namun mempunyai masalah seperti disenarai hitam, rekod perbayaran tertunggak serta pelbagai faktor lain yang memungkinkan permohonan pinjaman ditolak.
Tiga individu terbabit yang mahu membuat permohonan pembiayaan telah mengisi borang pinjaman, membuka akaun bank serta menggunakan bil elektrik yang bukan miliknya serta menandatangani perjanjian pinjaman dan dimaklumkan syarikat tertuduh mengenakan caj perkhidmatan 25 peratus daripada pinjaman tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi mencerminkan keseriusan kesalahan serta sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu lagi pada masa akan datang.
Mohammad Syamim yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar dia dikenakan hukuman denda sahaja atas alasan perlu menanggung anak berusia dua tahun serta ibu bapa yang uzur selain tidak mempunyai pendapatan kerana telah kehilangan kerja sejak 2024 dan insaf serta tidak akan mengulang perbuatan itu lagi.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Suzana menasihatkan tertuduh agar benar-benar insaf dan berharap hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh dapat memberi pengajaran kepadanya.
“Kamu masih lagi muda dan ada anak seorang. Kamu fikir dahulu sebelum melakukan apa-apa perbuatan pada masa akan datang,” kata Hakim Suzana.


