Beego mohon bela diri, kes lafaz taklik ditangguh 9 Februari

PROSIDING pengesahan lafaz taklik membabitkan pasangan selebriti, Linda Hashim dan Beego ditangguhkan ke 9 Februari depan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Tuan Fareq Azmi dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur petang ini.

Penangguhan berkenaan susulan permohonan defendan, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, untuk membela diri terhadap dakwaan lafaz taklik yang dikemukakan oleh plaintif, lapor BH.

BEEGO (kiri) atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah bersama peguam selepas prosiding pengesahan lafaz taklik antara beliau dan Linda Hashim di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur petang ini. GAMBAR: Mohamad Redzwuan Mansor

Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, pihaknya berharap prosiding berkenaan dapat diselesaikan dengan baik mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sebagai peguam, saya berpendapat pihak kami sudah berada di landasan yang betul dan telah mematuhi semua prosedur. Serahan saman serta penyata tuntutan sudah dibuat lebih awal, namun kami menerima maklum balas negatif daripada responden.

“Kami terpaksa menyerahkan saman hari ini, namun peguam yang dikatakan mewakili responden masih belum berwakalah. Selepas itu, kami dimaklumkan responden ingin melantik peguam yang sama dan mahkamah membenarkan satu tarikh baharu pada 9 Februari depan bagi tujuan pembelaan,” katanya ketika ditemui di mahkamah petang ini.

Sementara itu, Linda tidak menafikan rasa kesal apabila proses yang sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal terus berlanjutan sehingga hampir setahun.

Bagaimanapun, aktres berkenaan akur dan menghormati proses undang-undang, selain berharap Beego dapat memberikan kerjasama agar perkara itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya kesal kerana proses ini sudah hampir setahun berlanjutan. Saya kecewa kerana merasakan dia sengaja melambatkan proses dengan alasan masih sayang.

“Sebagai isteri, saya tahu bezanya sayang daripada keluarga dan kawan-kawan yang lebih tulus dan ikhlas. Ini bukan soal sayang, tetapi keputusan yang dia buat dari lubuk hati paling dalam untuk melambatkan proses ini,” katanya.

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga Linda dan Beego menjadi perhatian ramai apabila Linda memfailkan perceraian dengan alasan tiada lagi persefahaman.

Pasangan itu pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023, selain membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kembali bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, sebelum kembali bersama tidak lama kemudian.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7 tahun.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img