POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan hotel bajet sebagai transit dan ‘mini lab‘ selepas menahan dua lelaki di sebuah hotel di Danga Bay, Johor Bahru pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi.
Beliau berkata, penahanan kedua-dua suspek di bilik hotel itu membawa kepada rampasan dadah jenis methampetamine seberat 2.25 gram; ketamin (100 gram) dan pil yaba seberat 80 gram.
“Polis kemudian menyerbu sebuah lagi bilik di hotel sama dan menemukan dadah jenis ekstasi seberat 7.7884 kilogram serta peralatan memproses dadah.
“Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic bernilai RM80,000. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM1.08 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sering berpindah randah di hotel-hotel bajet bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, sindiket yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu membeli dadah dalam kuantiti besar sebelum ia dibungkus semula dan dijual pada RM250 sepeket.
Kesemua dadah yang dirampas boleh menampung seramai 80,184 penagih.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah selain ujian air kencingnya positif dadah jenis methampetamine.
Kedua-dua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


