LANGKAH kerajaan menyelaraskan perancangan pendidikan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) disifatkan sebagai anjakan besar dalam tadbir urus sistem pendidikan negara.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, buat pertama kali negara menyaksikan kesungguhan untuk memecahkan budaya kerja secara berasingan atau silo antara dua kementerian utama pendidikan yang sekian lama beroperasi dengan perancangan dan pendekatan masing-masing.
“RPM dan RPTM ini menunjukkan usaha kolaborasi yang sangat signifikan antara KPM dan KPT. Selama puluhan tahun, perancangan pendidikan dilihat secara terpisah, namun kali ini wujud kesepaduan yang membolehkan pendidikan ditangani secara menyeluruh daripada prasekolah hingga ke universiti.
“Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh kesinambungan dasar, malah meletakkan asas yang lebih kukuh kepada pembangunan insan secara sistematik dan berperingkat bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya menerusi video di laman Facebook miliknya.
Anuar turut berpandangan, dokumen RPM yang dibangunkan KPM bersifat lebih operasional dan realistik untuk dilaksanakan, khususnya apabila menekankan keperluan wajib capai dalam aspek asas seperti penguasaan bahasa, kualiti pembelajaran, pengurangan jurang pendidikan serta pembangunan adab dan sahsiah murid.
“Penekanan kepada perkara wajib capai memberi isyarat jelas kesungguhan kerajaan untuk memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan berkualiti. Ini selari dengan prinsip pendidikan sebenar yang menekankan akses, kualiti dan keadilan sosial,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau turut mencadangkan agar penggubalan dasar pendidikan pada masa hadapan turut melibatkan kementerian lain serta pihak industri dan masyarakat bagi membentuk pelan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berkesinambungan.
Dalam masa sama, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) menyarankan penubuhan satu majlis perundingan pendidikan negara sebagai badan pemantau bagi memastikan pelaksanaan RPM dan RPTM kekal konsisten meskipun berlaku perubahan kepimpinan kementerian.
“Cabaran sebenar selepas dokumen ini dilancarkan adalah pelaksanaan. Yang penting, ia perlu difahami dan disokong oleh masyarakat, khususnya ibu bapa, agar matlamat pendidikan negara menjelang 2035 dapat direalisasikan,” katanya.


