SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman enam individu termasuk seorang pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pemberian suapan kepada seorang penjawat awam sejak Februari tahun lalu.
Wang suapan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premis masing-masing bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Perintah reman selama empat hari sehingga 24 Januari terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Meera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga lingkungan 60-an telah ditahan secara berasingan menerusi Op Nature yang dijalankan sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang kira-kira jam 10.30 pagi dan 12.30 tengah hari semalam.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2025.
“Kesemua suspek disyaki memberi wang rasuah antara RM2,000 hingga RM50,000 secara tunai,” katanya.
Susulan itu, menurut sumber, SPRM turut mengeledah kilang-kilang dan rumah kesemua suspek yang terletak di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.


