JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat laporan polis terhadap tiga pusat jagaan kanak-kanak di Petaling Jaya, Shah Alam dan Puchong berhubung dakwaan berlaku penderaan kanak-kanak di kesemua premis berkenaan.
Menurut jabatan itu, JKM Selangor telah melakukan pemeriksaan di tiga premis terbabit pagi ini bersama pegawai Jabatan Pendidikan negeri susulan aduan awam yang diterima mengenai dakwaan berlakunya pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Katanya, premis-premis tersebut menyediakan perkhidmatan taska dan tadika, serta perkhidmatan pemulihan dan terapi bagi kanak-kanak kurang upaya di bawah jenama Al-Kauthar Eduqids.
“Ketiga-tiga pusat tersebut tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Susulan daripada penemuan tersebut, JKM Selangor akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan tindakan LAK iaitu notice of seal (arah penutupan) ke atas ketiga-tiga pusat berkenaan.
“Premis pusat-pusat tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya,” kata JKM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan jabatan itu lagi, sementara polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut, JKM juga akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Al-Kauthar Eduqids untuk mendapatkan penjelasan.


