POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dan merampas dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM1 juta selepas menahan dua lelaki tempatan di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, semalam.
Suspek berusia 33 dan 41 tahun ditahan secara berasingan dalam operasi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dari jam 2 petang hingga 12 tengah malam susulan maklumat serta risikan yang dibuat polis.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan suspek di kawasan parkir dan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan membawa kepada penemuan satu kotak berwarna cokelat mengandungi pelbagai bungkusan serbuk disyaki dadah jenis MDMA.
“Polis menemukan sejumlah 271 peket pelbagai jenama dan warna mengandungi serbuk MDMA dengan berat keseluruhan dianggarkan 6,155 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Alwi, tangkapan suspek pertama itu kemudian membawa kepada penahanan suspek kedua di kawasan berdekatan.
Katanya, jumlah dadah dirampas boleh digunakan oleh 50,000 penagih dengan sindiket itu dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu.
Beliau berkata, kedua-dua suspek juga didapati positif ketamin serta mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
Suspek kata beliau kini direman sehingga 27 Januari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


