SEORANG pengusaha pusat kitar semula dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang baru-baru ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, termasuk menjalankan perniagaan secara haram.
Chong Hsu Wee, 40, dijatuhi hukuman itu pada 21 Januari lalu selepas didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, selain mengendalikan pusat kitar semula tanpa lesen, lelaki itu didakwa menjalankan kerja tanpa kelulusan bertulis ketua pengarah JAS serta menjalankan aktiviti kitar semula tembaga tanpa penilaian impak alam sekitar (EIA) yang diluluskan.
“Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira kepentingan awam,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, Hsu Wee dihadapkan ke mahkamah susulan serbuan yang dijalankan di Kapar, Klang, pada Februari tahun lalu.
Pemeriksaan mendapati terdapat timbunan sisa plastik, logam dan serpihan wayar yang dikategorikan sebagai sisa terjadual di bawah kod SW422.
SW422 merupakan kod sisa terjadual bagi campuran sisa terjadual dan tidak terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Sisa Terjadual.


