SUARA AWANG SELAMAT
Awang sebenarnya tak ada masalah langsung apabila Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11 daripada parti itu.
Ketua Penerangan Armada, Haris Idham Rashid kata, semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) harus menghormati keputusan Bersatu itu.
Betul, Awang setuju mereka harus hormati keputusan tersebut dan Awang juga bersetuju bahawa ia mencerminkan sokongan padu sayap anak muda terhadap kepemimpinan Muhyiddin malah Awang akui ia manifestasi suara akar umbi. Tetapi semua itu adalah soal dalaman dan keputusan Bersatu, ia tidak ada kaitan dengan komponen PN yang lain.
Sama ada pencalonan akan diterima atau tidak, ia akan dipertimbangkan dan dimurtamadkan oleh Majlis Presiden PN. Maknanya mereka ada hak menolak pencalonan tersebut dan mereka juga ada hak mengemukakan calon sendiri atau menyokong individu lain dalam PN untuk menjadi PM.
Jika Majlis Presiden PN menolak pencalonan ini maka keputusan tersebut harus dihormati ‘demi memastikan kesepakatan gabungan terus dipelihara’. Maknanya Bersatu tidak boleh memaksa atau berasa kecewa kalau Muhyiddin tidak terpilih kerana sudah pasti ia dilakukan demi kepentingan PN.
Tetapi buat masa ini, Awang tengok parti-parti lain khususnya Pas ‘tidak berminat’ hendak bercakap soal calon PM, sebaliknya mereka mahu menumpukan perhatian untuk menang pilihan raya terlebih dahulu. Soal itu mereka akan fikirkan apabila tiba masanya. Atas semangat itulah muktamar parti itu akan memfokuskan kepada persiapan menghadapi PRN di Sabah, Johor dan Melaka serta seterusnya PRU-16.
Pas tidak mahu muktamar mereka menjadi seperti perhimpunan Bersatu yang jadi ‘haru biru’ apabila dilihat lebih menumpukan perhatian untuk mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan mahu memastikan beliau menjadi calon tunggal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri
Awang dengar macam-macam cerita pasal dalaman Bersatu. Rasa rimas pulak sebab sepatutnya Bersatu tumpukan kukuhkan parti itu. Bersatu mesti ada kekuatan sendiri dan bukannya dilihat bergantung kepada Pas. Jadi kepada Armada yang Awang tengok bersemangat menyokong Muhyiddin, mereka perlu pastikan parti abah itu kuat.
Malu abah kalau Bersatu kalah dalam PRN apatah lagi PRU. Kalau nak orang hormati abah dan merasakan abah layak jadi PM sekali lagi, Armada kena bersungguh-sungguh turun padang. Pastikan parti abah menang selesa, kalau dapat atasi Pas lagi baik, maknanya Bersatu parti nombor satu dalam PN.
Tetapi setakat ini Awang tak nampak itu akan berlaku kerana dalaman Bersatu pun masih belum stabil lagi. Cuma firasat Awang jika Pas menang lebih banyak kerusi dari Bersatu, mereka berhak minta jawatan Perdana Menteri, paling tidak pun ada kuasa untuk pilih siapa yang mereka mahukan daripada kalangan pemimpin PN.
Kalau itu berlaku terus terang Awang cakap belum tentu pencalonan daripada Bersatu akan diterima. Awang ada ramai kawan dalam Pas, Awang tahu bagaimana sentimen mereka selepas Bersatu menamakan calon PM mereka. Nasihat Awang kepada Bersatu berhati-hati, jangan ghairah sangat …tak elok.
Awang – Takut rebah tengah berangan


