SEORANG buruh ladang yang didakwa atas pertuduhan mahu membunuh ibu dan adik lelakinya, dihantar ke penjara selepas gagal membayar ikat jamin RM5,000 yang dikenakan Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini.
Tertuduh, Muhammad Kamal Ariffin Katiman, 36, duda dua anak yang didakwa atas empat pertuduhan, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ‘jangan sampai aku bunuh kau’ dan ‘kalau mak mati, kita lagi senang’ terhadap ibu dan adiknya berusia 57 dan 31 tahun.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, dia didakwa sengaja melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit emaknya serta menendang pintu dapur, bilik tandas serta televisyen yang menyebabkan kerugian RM2,919.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit Raja, Batu Pahat pada jam 1.30 petang, 27 Januari lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 serta Seksyen 426 dan 427 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.
Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh naik angin selepas adik lelaki enggan meminjamkan motosikal kepadanya. Tindakan itu menyebabkan tertuduh marah selain turut merosakkan barangan dalam rumah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Normahaani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 5 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.


