Wajib BM, Sejarah dalam SPM: Libat urus bersama wakil pelbagai aliran pendidikan berjalan baik

SESI libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan pendidikan berhubung pelaksanaan wajib mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan dengan baik.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri Pendidikan Fadlina Sidek hari ini membentangkan kepada Jemaah Menteri mengenai beberapa pertemuan yang telah diadakan bersama wakil sekolah antarabangsa, institusi Maahad Tahfiz serta Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

“Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa pertemuan tersebut berjalan dengan sangat baik dan terdapat penyelarasan dari segi pelaksanaan kerajaan yang diterima baik oleh semua pihak yang hadir,” katanya pada sidang media mingguan di Menara Komunikasi, Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan semua sekolah di Malaysia, termasuk sekolah agama, antarabangsa dan swasta, diwajibkan mengajar bahasa Melayu dan sejarah kepada semua pelajar warga Malaysia.

Dasar itu akan dilaksanakan dalam waktu persekolahan rasmi dan terpakai kepada semua institusi, termasuk yang menawarkan UEC.

Fahmi turut memaklumkan  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)  dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada minggu hadapan bagi meneliti laluan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Kabinet akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada KPM berhubung isu kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.

Beliau berkata walaupun perkara itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, isu prasarana sekolah merupakan perkara penting yang ditekankan Perdana Menteri.

“Hal ini tidak dibincangkan, tapi sebenarnya isu prasarana ini adalah satu isu yang penting, malah Perdana Menteri sebelum ini sudah menyatakan hasrat kerajaan untuk pastikan bilik darjah ini dapat disediakan menggunakan IBS (Sistem Binaan Berindustri),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan anggaran kos pembinaan blok bangunan merangkumi bilik darjah, tangga, koridor dan tandas bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada antara RM280,000 hingga RM520,000, berbanding antara RM180,000 hingga RM250,000 bagi tempoh 2016 hingga 2020.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img