KERAJAAN komited menyediakan ruang yang lebih luas bagi memastikan kebebasan media terus diperkukuh, selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap prinsip keterbukaan dan kebebasan bersuara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah menerima panggilan daripada pihak berkaitan lewat malam semalam bagi membincangkan perkara tersebut, khususnya berhubung usaha memantapkan peranan Majlis Media Malaysia (MMM).
“Antara perkara utama yang dibangkitkan adalah memperkukuh Majlis Media Malaysia sebagai badan perwakilan industri media. Kita juga sedang berusaha mendapatkan sebuah pejabat khusus bagi majlis ini supaya ia dapat beroperasi dengan lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI di Le Méridien, Putrajaya hari ini.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan Dana Inovasi Media bagi membantu syarikat dan organisasi media yang berdepan cabaran besar akibat perubahan teknologi yang pantas, termasuk penurunan hasil pengiklanan serta isu produktiviti pekerja.
“Kita sedar industri media sedang melalui fasa perubahan yang sangat mendadak. Cabaran teknologi memberi kesan besar dan sebab itu kerajaan tampil membantu melalui dana inovasi ini,” ujarnya.
Fahmi menjelaskan, beberapa perkara lain akan disusuli menerusi perbincangan lanjut bersama Majlis Media Malaysia bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan industri media terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh soal etika kewartawanan yang menurutnya perlu terus diberi perhatian.
“Ada kalanya kita lihat tajuk utama berita tidak selari dengan kandungan sebenar. Ini mungkin berlaku di peringkat pelaporan lapangan atau ketika proses penyuntingan.
“Namun, saya percaya rakan-rakan media peka tentang perkara ini dan kita boleh bekerjasama untuk menambah baik,” katanya.
Sementara itu, Fahmi turut mengulas kenyataan Anwar yang bersetuju dengan prinsip kebebasan media, namun menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu mengambil kira keharmonian masyarakat.
“Datuk Seri Anwar berpandangan kebebasan media penting, tetapi ada batas tertentu terutama perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan awam,” jelasnya.
Tambah beliau, sebarang cadangan untuk memansuhkan atau mengkaji semula undang-undang berkaitan media akan dirujuk kepada Kementerian Komunikasi serta dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.


