PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini susulan operasi penguatkuasaan terkini serta kebimbangan berhubung penyalahgunaan visa yang boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

“Perdana Menteri telah meminta tindakan lebih tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas sosial atau melanggar syarat visa mereka untuk bekerja. Mereka akan dikenakan tindakan tegas,” katanya pada sidang media mingguan di Menara Komunikasi, Putrajaya hari ini.
Beliau yang juga jurucakap rasmi kerajaan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut membentangkan kepada Kabinet mengenai skala operasi yang dijalankan, dengan seramai 54,791 individu telah diperiksa di seluruh negara sejak tahun 2025 hingga pertengahan Januari 2026.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 51,100 orang direkodkan sepanjang tahun 2025 manakala 3,691 kes lagi dikesan setakat Januari tahun ini.
Tambah Fahmi, pemeriksaan tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan bagi membendung kemasukan pelawat yang datang atas tujuan pelancongan atau sosial, namun kemudiannya terlibat dalam pekerjaan tanpa kebenaran.
“Walaupun pecahan mengikut kewarganegaraan ada direkodkan, maklumat lanjut mengenai perkara itu perlu dirujuk kepada KDN,” katanya.


