SEORANG lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba memberi sogokan kepada seorang pegawai polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Suasa 6, Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan pegawai berkenaan yang sedang membuat rondaan snap chek di kawasan terbabit, kira-kira pukul 3 pagi.
“Suspek cuba menawarkan wang sogokan kepada pegawai bertugas bagi mengelakkan tindakan diambil.
“Pengadu telah memberi amaran supaya tidak melakukan perbuatan rasuah namun suspek enggan mematuhi arahan sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 214 Kanun Keseksaan.


