DATUK Seri Anwar Ibrahim menafikan sebarang kaitan dengan mana-mana pihak dalam pertukaran emel dikaitkan dengan kes membabitkan ahli kewangan, Jeffrey Epstein, meskipun namanya dipetik oleh pihak luar yang mahu mengadakan pertemuan.
“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam e-mel membabitkan kes Epstein.
“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas e-mel tu, terutama Epstein.
“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran pada akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, nama Perdana Menteri muncul dalam kelompok terbaharu fail yang dikeluarkan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan mendiang Epstein.
Nama Anwar tidak dikaitkan dengan sebarang dakwaan salah laku seksual atau lawatan ke pulau terkenal milik mendiang ahli kewangan itu, sebaliknya hanya dibincangkan dalam konteks politik.
Melalui satu e-mel bertarikh 21 Februari 2012, seorang rakan kongsi Epstein yang identitinya tidak didedahkan, menghantar e-mel bertanya sama ada wajar diatur satu pertemuan di antara Anwar dengan individu dikenali sebagai `Jes’ bagi meneroka potensi manfaat masa depan untuk `JPM’.
JPM merujuk kepada bank Amerika Syarikat, JP Morgan, manakala Jes dipercayai merujuk kepada Jes Staley, yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bahagian perbankan pelaburan syarikat berkenaan.
Epstein, seorang pembiaya kaya AS, meninggal dunia di sel penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas pertuduhan memperdagangkan kanak-kanak perempuan bawah umur untuk tujuan seks.
Kematian itu menurut laporan AFP, diputuskan sebagai bunuh diri.


