
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
Taasub!. Maksudnya fanatik atau keyakinan yang melampau. Umumnya membawa konotasi negatif. Buruk. Umumnya dikait dengan fanatik agama dengan fikiran melampau dengan aksi amat keras tanpa mengira agama mana pun. Ada segelintir yang taasub. Pegangan puak sendiri sahaja yang betul. Puak lain salah.
Pernah dalam sejarah Eropah yang tidak terlalu lama, berlaku perang walaupun agama mereka sama, cuma mazhabnya sahaja berbeza. Banyak yang berfikir sikap taasub atau fanatik hanya ada pada penganut Islam sahaja. Jelas kurang tepat pandangan sebegini. Fanatik berisiko membawa kesesatan.
Namun sedarkah kita bahawa ada sikap “taasub” yang membawa kebaikan yang amat besar jika diurus dengan baik dan betul caranya. Sejarah telah membuktikan bahawa sikap taasub terhadap bahasa negara sendiri telah membawa banyak faedah kepada sesuatu bangsa dan banyak negara. Banyak contohnya.
Suatu ketika dahulu orang Inggeris khususnya golongan bangsawan dan di istana menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa harian. Itulah petanda kemuliaan bahasa dan penuturnya. Berbeza dengan rakyat kebanyakan dan petani umumnya yang menggunakan bahasa Inggeris. Itulah bahasa yang amat rendah nilainya. Bahasa orang miskin dan papa kedana.
Tetapi gelombang ketaasuban terhadap bahasa Inggeris terlalu kuat sehingga akhirnya berjaya meroboh benteng bahasa Latin golongan bangsawan, istana yang sekaligus mengangkat bahasa Inggeris ke persada antarabangsa hingga kini.
Begitu juga orang Perancis yang taasub terhadap bahasanya dan amat tidak senang dengan pengaruh dan bahasa Inggeris sehingga digubal undang-undang yang melarang penggunaan bahasa Inggeris secara sewenangnya. Malah ada kata Inggeris yang diharamkan penggunaannya di Parlimen.
Bahasa Perancis sudah cukup kaya kata mereka. Kata-kata Perancis menguasai glosari ilmu patisserie sebagaimana bahasa Latin mewarnai istilah ilmu perundangan. Dipercayai banyak yang tidak tahu bahawa kata dalam bahasa Melayu juga turut mewarnai istilah dalam bidang sains.
Dalam banyak peristiwa mereka tidak akan melayan bualan dan pertanyaan dalam bahasa Inggeris. Lebih baik kita bertanya dalam bahasa Melayu sebagai orang Melayu dan kita akan dilayan baik sebagai tetamu yang tidak memahami “French”.
Orang Jerman juga pada awalnya memandang tinggi akan bahasa Inggeris. Namun seorang sarjana mereka, Lebniez, pakar bahasa telah menjadi pelopor memperkaya khazanah bahasa Jerman, mengangkat bahasa Jerman sebagai bahasa ilmu moden sehingga Jerman maju kini dengan bahasa sendiri.
Kata-kata umum, bahawa Jerman adalah guru terbaik, manakala Jepun adalah murid terbaik dapat menggambarkan kemajuan teknologi mereka yang dipupuk dalam bahasa sendiri.
Bangsa Korea dan Jepun juga memang taasub dengan bahasa mereka. Segala teknologi dari barat terutamanya yang masuk ke negeri mereka wajib di-Koreakan dan di-Jepunkan terlebih dahulu termasuk Taman Tema Hiburan Disneyland. Pengalaman kerdil penulis kira-kira dua tahun di sana, pengalaman rakan-rakan dan lain-lain turut membenarkan kenyataan tersebut.
Jepun juga ada konsep “wakon yohsai”, semangat Jepun, teknologi barat. Semangat bahasa dan budaya Jepun yang tinggi walaupun menerima teknologi barat inilah yang patut ditiru pemimpin dan rakyat Malaysia. Kita wajib memperkasa bahasa dan budaya kebangsaan yang berteraskan budaya asal penduduk asal negara ini di samping unsur lain yang tidak bercanggah dengan Islam.
Rusia juga taasub dengan bahasa Rusianya. Malah pada awalnya Jepun pernah menggunakan bahasa Rusia bagi bidang teknologi dan ketenteraan sebelum kembali menggunakan Nihongo.
Turkiye juga taasub bahasanya dan mereka maju dalam sains dan teknologi seperti barangan elektrik elektronik, alatan ketenteraan, pesawat pejuang dan kapal perang.
Republik Rakyat China juga amat taasub dengan bahasa rasminya, Mandarin. Temu bual, wawancara tetap dilaksanakan dalam bahasa Mandarin dan penterjemah disediakan dalam bahasa tetamu, pelawat, pemimpin yang berkenaan.
Adakah itu bermakna kesemua negara tersebut menolak segala bahasa lain dari luar? Tidak sekali-kali. Penterjemah pelbagai bahasa disediakan bermakna banyak bahasa asing dipelajari. Industri terjemahan dibangunkan dan modal insan penterjemah juga diperbanyak dan dimajukan. Di China sendiri, banyak universitinya mempunyai pengajian bahasa asing yang berjumlah lebih daripada 100 buah termasuk bahasa bangsa yang kecil- kecil di Afrika.
Universiti-universiti di Jepun juga mempunyai pusat pengajian bahasa asing seperti Inggeris, Jerman, Rusia, Sepanyol, Mandarin, Arab dan juga bahasa Melayu (Indonesia, Malaysia). Di semua negara tersebut pelajar wajib mempelajari bahasa negara mereka. Sejauh manakah kesungguhan pihak berkenaan mewajibkan pelajar asing menguasai bahasa rasmi negara ini?
Penterjemah juga amat aktif di semua negara tersebut. Bahan, peralatan media berkaitan disediakan. Walaupun peserta, panel, profesor, menteri negara sendiri fasih berbahasa Inggeris, di seminar, persidangan antarabangsa, penterjemah dan terjemahan serentak atau selari kerap digunakan dengan aktifnya bagi bahasa semua negara yang terlibat terutama Inggeris.
Bahasa mereka dimartabatkan dalam amalan dan bukan secara teori dan ucapan retorik meraih sokongan sahaja. Mereka taasub sebagai tanda hormat, meraikan, mengutamakan dan menjunjung bahasa negara sendiri tanpa menolak secara fanatik atau semborono akan mana-mana bahasa asing.
Pemimpin dan rakyat mereka sedar dan tahu betapa tingginya nilai bahasa negara sendiri dan kepentingan menjunjung bahasa tersebut. Bahasa negara wajib diletak di tempatnya yang hak dan betul. Bahasa negara dijunjung, bahasa lain dikendong.
Sekarang mari kita lihat pula fenomena bahasa atau bezanya cara memartabatkan bahasa negara kita yang selalunya secara lisan diagungkan dengan cogan “Bahasa Jiwa Bangsa”.
Betulkah bahasa negara, bahasa Melayu diagungkan atau sekadar retorik dan semasa kempen Bulan Bahasa’ Kebangsaan sahaja? Bahasa Melayu jelas dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152.
Bahasa Melayu wajib diguna dalam acara rasmi. Tetapi bahasa lain tidak dilarang, maksudnya boleh dipelajari pastinya sebagai satu mata pelajaran bahasa, bukan sebagai bahasa penghantar ilmu yang jelas akan mengambilalih peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerana urusan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan adalah merupakan tugas rasmi.
Malangnya hingga ke usia kemerdekaan negara hampir menjangkau 70 tahun, diulang, 70 tahun, isu bahasa Melayu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini di samping isu perpaduan masih tidak selesai-selesai. Ataukah isu ini tidak akan beres walaupun berpuluh tahun lagi?
Penulis cuba juga untuk berfikir secara positif dan optimis namun meneliti alam realiti di negara ini, fikiran begitu semacam mustahil buat beberapa dekad ini walaupun tidak dinafikan tentulah ada secebis kejayaan yang telah ditempa. Sekejap di sebelah kanan bahasa berjaya dimartabat, di sebelah kiri pula berlaku usaha membantut, meruntuh kejayaan yang telah dicapai.
Dewan Bahasa dan Pustaka merancang dan melaksanakan pelbagai usaha seperti membangunkan pustaka ilmu berbahasa Melayu melalui penerbitan dan lain-lain, seminar, persidangan, Bulan Bahasa, program merakyat dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di sektor awam dan swasta pada setiap tahun.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga terlihat mempunyai beberapa sikap bahasa yang berbeza. Ada yang amat memberi kerjasama dalam hal ini kepada saran DBP atau pun dengan inisiatif sendiri.
Tetapi ada juga PBT yang seperti paku dengan penukul. Malah ada segelintir yang enggan dan ingkar walaupun ditegur oleh DBP. Malang sekali. Inilah manifestasi tiada “ketaasuban” terhadap bahasa negara dan lebih taasub bahasa lain, khususnya Inggeris. Matilah DBP yang tidak bergigi seorang diri?
Dalam kes lain pula, mana tidaknya, sebagai satu contoh, apabila dasar bahasa kebangsaan dilaksana, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari 1970-an hingga tahun 2002 maka pada 2003 PPSMI diperkenal oleh pemimpin terdahulu yang “membunuh” upaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi.
Baru saja sedar daripada mimpi ngeri bahasa, pemimpin kemudian memansuhkan PPSMI, pemimpin selepasnya pula membenarkan DLP (PPSMI versi 2.0) dilaksana pada 2014, lalu membunuh juga bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Daripada sekolah melarat sehingga ke universiti.
Kebenaran yang meluas bagi warganegara menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa yang jelas menafikan bahasa rasmi negara ini juga gambaran ketaasuban terhadap bahasa Inggeris dan ini wajib dikaji semula. Di samping bahasa, nilai budaya asli negara ini juga akan terpinggir daripada dunia pendidikan mereka sejak remaja lagi.
Kerjasama sektor awam sendiri masih kurang dan seolah-olah melepas batuk di tangga. Ini juga berpunca kerana lebih taasub terhadap bahasa Inggeris.
Masih berlaku mesyuarat rasmi dalam bahasa Inggeris walaupun dalam sektor awam di kementerian. Malah pernah dikhabarkan mesyuarat kabinet pun ada juga berlangsung dalam bahasa Inggeris?.Jika benar, jadilah seperti ibu ketam mendidik anaknya berjalan betul.
Keperluan fasih dalam bahasa Inggeris bukanlah lesen untuk menggunakannya dalam hal-hal rasmi khasnya bersifat domestik seperti urusan dalam kementerian dan jabatan. Masihkah ini kerana taasub terhadap bahasa Melayu?
Seperti dinyatakan, tidak mustahil hal itu berlaku kerana di Parlimen sendiri kita dapat melihat kelonggaran yang berleluasa. Selain adab dan budi bahasa halus dulunya yang semakin hilang , kita jelas dahulunya untuk menyebut satu dua kata Inggeris ahli Parlimen akan meminta izin terlebih dahulu. “Mohon izin”.
Selepas itu barulah disebut perkataan Inggeris itu. Kini bukan satu, malah satu, dua ayat penuh pun mereka terus “belasah” dan berucap tanpa memohon izin pun. Macamlah mereka sedang bersidang di Parlimen Inggeris di London atau Washington.
Di satu dewan undangan di sebuah wilayah pula, bahasa Inggeris hampir setaraf dengan bahasa rasmi negara Malaysia seolah-olah Perkara 152 dan Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi) itu hanya untuk Semenanjung Tanah Melayu dan tarafnya lebih rendah daripada mana-mana yang lain walaupun dengan sebuah “perjanjian”?
Gelaran kepala wilayah juga seolah-olah seorang ketua di negara lain dan istilah dalam bahasa Melayu tidak cukup tinggi untuk membawa maksud jawatan yang sama. Ketaasuban apakah yang telah berlaku? Taasub bahasa Melayukah lagi dalam hal ini?
Melihat kedudukan tersebut apatah lagi, sektor swasta pun tanpa berlengah mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan menafi dan mengetepikan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengiklanan.
Bahasa Melayu sama ada “dikeduakan” dan kerap juga tiada langsung dan cuma tinggal Inggeris dan Mandarin sahaja. Itu memperlihat seolah-olah mereka berurusan dengan rakyat di London, New York, Melbourne, Taiwan atau Hong Kong dan bukan dengan rakyat di negara ini.
Bahasa kaum lain tentunya diraikan tetapi tidak boleh setaraf dengan bahasa rasmi, bahasa negara seperti termaktub dalam Perlembagaan. Hakikat ini wajib diterima tanpa kompromi berdasarkan fakta dan sejarah. Akibat tiada ketegasanlah maka isu bahasa berlarutan hingga kini dan wujud warga yang tidak fasih bahasa Melayu hingga 70 tahun merdeka?
Justeru bahasa Melayu terus pasang surut mengikut arus atau pemimpin dan bukannya mengikut dasar yang telah dinobatkan dan yang sepatutnya sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat. Sepatutnya siapa pun Perdana Menteri, dasar bahasa negara, pendidikan dan budaya tidak berubah.
Adakah merdeka cukup hanya dengan jeritan dan kibaran bendera pada 31 Ogos saban tahun? Maka merdekalah kita walaupun minda dan jiwa tetap terjajah dengan kebanggaan bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya di dunia ini?
Bagi golongan termasuk pemimpin yang sepemikiran dengan mereka, negara tidak akan maju atau separuh maju jika menggunakan bahasa Melayu walaupun pernah melahirkan puluhan ribu manuskrip ilmu dalam pelbagai bidang dan berselerak di seluruh Eropah, Rusia dan lain-lain.
Kegemilangan bahasa Melayu semacam tidak mahu diakui atau mahu dipadam sahaja kebenarannya? Adakah mempertahan bahasa negara ini tanpa menolak usaha menguasai segala bahasa lain maka itulah taasub namanya?
Bagaimana pula mereka yang menolak mentah-mentah bahasa negara ini sebagai bahasa penghantar utama di institusi pendidikan, menolak tulisan jawi (yang asalnya cuma 10 muka surat), yang menafikan merendahkan taraf bahasa negara ini dalam sebarang acara, majlis, iklan produk dan perkhidmatan, pengumuman dan sebagainya? Bukankah itulah taasub yang sebenarnya kerana menafikan kewujudan taraf utama dan tertinggi bahasa negara ini?
Penulis telah meneliti isu bahasa Melayu ini dengan para bahasawan, sasterawan, budayawan dan pejuang bahasa sejak 42 tahun lalu (1983). Sepanjang ingatan penulis tiada seorang pun daripada mereka yang taksub dengan maksud memperjuang bahasa Melayu tetapi membenci bahasa lain terutama Inggeris.
Yang kami tolak ialah sikap dan usaha memuja dan memartabat apa sahaja bahasa lain termasuk Inggeris sebagai bahasa utama atau rasmi sama ada secara langsung atau tidak langsung di negara ini.
Apatah lagi sikap hipokrit banyak pihak yang berdegar-degar di luar seolah-olah memperjuang bahasa Melayu tetapi dalam majlis, pelaksanaan program, aktiviti rasmi walaupun berupa domestik peringkat negeri dan kebangsaan, bahasa negara dipinggirkan atau sekadar “solekan” tetapi bahasa lain diutamakan, mengatasi bahasa rasmi negara ini.
Tidakkah sikap melebihkan bahasa lain tersebut sebenarnya adalah sikap yang taksub? Kami masih sedar bahawa semua bahasa dikurniakan Tuhan kepada bangsa-bangsa manusia di dunia ini termasuk di bumi kepulauan Melayu ini yang tidak wajar dibenci dan dimusuhi.
Hatta bahasa orang asli juga amat baik dipelajari seperti bahasa Semai dan Senoi. Seperti tersurat dalam kitab suci al-Quran, Tuhan menjadikan pelbagai bangsa (dengan pelbagai bahasa) adalah untuk saling berkenalan dan tentunya bukan untuk bersengketa.
Justeru mereka yang taasub dengan bangsa dan bahasanya sahaja, membenci bangsa dan bahasa lain tentunya sudah mengengkari perintah Tuhan dan mengundang kemurkaan-Nya. Yang boleh dibenci sikap fanatik golongan yang taasub bahasa kaum, bangsa sendiri sehingga sanggup “membenci” bahasa negara yang sekaligus diangkat sebagai bahasa perpaduan, bahasa pemersatu di negara ini.
Malangnya, itulah sikap yang terlihat pada sesetengah golongan termasuk segelintir pemimpin di negara ini. Mereka yang taasub akan bahasa kaum sendiri sehingga lupa bahasa apakah yang patut diutamakan di negara ini.
Antara manifestasi yang dapat dilihat ialah usaha menafikan dan meremehkan tulisan bahasa negara, meminggirkan ucapan dalam bahasa Melayu, tidak berbangga untuk menggunakan bahasa negara bagi jenama program jabatan serta kementerian, produk dan sebagainya.
Seterusnya usaha berterusan penolakan tulisan jawi yang merupakan tulisan asal bahasa Melayu dengan alasan yang sempit juga dapat menggambarkan sikap taksub golongan berkenaan.
Bermati-matian menolak dasar bahasa kebangsaan, menentang bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama ilmu pelbagai bidang di institusi pendidikan, menentang sekolah satu aliran dan banyak lagi perkara dapat memberi gambaran sikap taasub yang negatif terhadap bahasa rasmi negara ini.
Tidakkah ini sebenarnya sikap taasub terhadap bahasa kaum sendiri? Bahasa negara ini telah pun diabsahkan oleh undang-undang tertinggi negara dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan sejak 1957 lagi.
Sikap tersebut tidak akan ditemui di mana-mana negara lain di dunia ini kecuali di beberapa negara di Afrika misalnya yang terus menyanjung bahasa penjajah mereka sedangkan mereka tidak pun maju-maju walaupun menggunakan bahasa orang yang maju.
Peristiwa yang cukup malang sekali jika sikap taasub tersebut tidak dikesan atau didiamkan sahaja tetapi anehnya, sikap taksub diterbalikkan pula kepada golongan yang memperjuang bahasa negara ini? Para pejuang bahasa pula dianggap taasub? Betullah seperti kata almarhum Datuk Dr Siddiq Fadhil, sekarang ini zaman edan. Banyak yang sewel.
Justeru tidak perlulah diulang-ulang akan kepentingan bahasa Inggeris dan lain-lain kecuali kepada pelajar. Semua dah faham. Sikap menyanjung dan memuja bahasa Inggeris lebih mudah dipupuk berbanding memupuk sikap berbangga terhadap bahasa negara sendiri yang mudah luntur.
Buktinya 70 tahun masih banyak anak muda tidak fasih bahasa Melayu. Apatah lagi jika sistem pendidikan kita sendiri telah “memisahkan” mereka kepada dua atau lebih golongan. Kesan terhadap penguasaan bahasa, pergaulan dan perpaduan juga berisiko terjejas seperti terbukti dalam kajian yang pernah dibuat terhadap peserta kursus Program Latihan Khidmat Negara oleh Profesor Teo Kok Seong dan lain-lain.
Semoga Perdana Menteri kini, sebagai bekas pejuang bahasa satu ketika dulu pada zaman pelajarnya tidak melupai atau beralih perjuangannya. Mengandaikan wujudnya ketaasuban terhadap bahasa Melayu oleh mana-mana pihak di negara ini amatlah dikesali terutama jika kepada mana-mana pejuang bahasa.
Sebagai pemimpin utama negara, tuan Perdana Menteri patutlah menegur siapa sahaja tanpa mengira kenalan rapat mahupun pembangkang terutama mereka yang cuba mengalih sikap taksub bahasa kepada para pejuang bahasa.
Beranilah tuan menegur pihak tersebut yang selama ini terlihat seolah-olah tidak pernah ditegur agar tidak berterusan naik tocangnya. Janganlah terlihat tuan pula yang beralih angin. Dari timur ke barat.
Moga tiada tempua bersarang rendah. Hanya pohon yang kekenalan buahnya dan jauhari mengenal manikam. Bak kata almarhum Pak Asraf Haji Wahab, Tokoh Pejuang Bahasa berasal Kumpulan ASAS 50 yang amat fasih Inggerisnya, “Pupus bahasa, pupuslah bangsa”. Menguasai bahasa Inggeris (bahasa lain juga) adalah penting, tetapi “dikuasai” bahasa Inggeris itu adalah tanda permulaan malapetaka kepada bangsa di Malaysia. Hubaya-hubayalah pemimpinku sebelum nasi menjadi bubur.
- Penulis adalahPengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu


