POLIS mendapat perintah tahanan reman, masing-masing selama dua hari terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak, bagi membantu siasatan penganjuran himpunan membantah rumah ibadat ‘haram’ di ibu negara malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam kenyataan ringkas kepada media, Fadil memaklumkan majistret membenarkan perintah reman dua hari terhadap dua individu terbabit.
Terdahulu, dilaporkan sebanyak 131 laporan polis dibuat terhadap Zamri dan kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH).
Perhimpunan yang dirancang malam tadi di luar pusat beli-belah Sogo itu gagal diadakan kerana tidak dibenarkan polis atas faktor keselamatan.
Polis sebelum ini memaklumkan seramai 19 orang terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita ditahan malam tadi, dan 17 daripadanya dibebaskan selepas keterangan direkodkan.


