POLIS Pulau Pinang menahan seorang individu bagi membantu siasatan kes ancaman terhadap penceramah bebas Zamri Vinoth di negeri itu hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan sekitar Bukit Mertajam awal pagi tadi.
Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Zamri yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
“Polis mengesahkan menerima laporan daripada Zamri dan satu tangkapan dibuat awal pagi tadi.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Bernama.
Azizee berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian itu.
Terdahulu, Zamri memuat naik rakaman video berdurasi 19 saat di Facebook yang memaparkan kenderaannya dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum beberapa lelaki lain turut datang menghampiri, dan kenderaan itu kemudian dilihat melanggar motosikal berkenaan.
Tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kelantangan penceramah berkenaan berkaitan isu sebuah rumah ibadat kecil berdekatan sebuah hospital di negeri itu.


