Polis KL tahan 11 wanita warga Afrika tawar khidmat seks di kaki lima Bukit Bintang

POLIS dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 11 wanita warga asing dari benua Afrika kerana menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dalam operasi di sekitar pusat tumpuan pelancong di Bukit Bintang di ibu negara awal pagi ini.

Kesemua wanita terbabit berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dan berasal dari Ghana, Uganda dan Nigeria, ditahan dalam operasi bermula jam 2 pagi.

Serbuan dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama JIM Kuala Lumpur.

JSJ IPK Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, kegiatan tersebut dikesan selepas risikan dijalankan selama dua minggu.

Menurut kenyataan itu, wanita terbabit dipercayai menawarkan khidmat seks pada kadar RM200 di kaki lima sekitar kawasan Bukit Bintang.

Kata kenyataan itu, kegiatan tersebut yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu menyasarkan pelanggan yang datang berhibur di sekitar kawasan tumpuan pelancong di ibu negara.

“Jika pelanggan bersetuju dengan harga yang ditawarkan, mereka akan memilih hotel bajet sekitar kawasan berkenaan atau mengikut pelanggan ke lokasi peribadi pelanggan tersebut.

“Individu terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sebelum menjalankan aktiviti tidak bermoral sebagai sumber pendapatan,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut JSJ Kuala Lumpur, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dijalankan secara solo dan tidak dilindungi mana-mana sindiket.

“Turut dirampas kondom yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan pelacuran warga asing khususnya di kawasan tumpuan pelancong sekitar ibu negara.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img