Seludup beras: AKPS rampas hampir 100 tan di Bukit Kayu Hitam

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup hampir 100 tan beras bernilai hampir RM640,000 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasarudin M. Nasir berkata, dua motolori kontena diperiksa kira-kira pukul 4 petang di Blok E3, Laluan Masuk ICQS Bukit Kayu Hitam susulan maklumat risikan yang diterima.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan membawa beras tanpa sebarang pengisytiharan, yang disembunyikan di dalam treler kontena dipercayai bagi mengelirukan pemeriksaan di pintu masuk negara.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 49,950 kilogram beras bagi setiap treler, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 99,900 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Menurutnya, kesemua beras itu dianggarkan bernilai RM639,400, manakala dua motolori kontena bersama treler yang dianggarkan bernilai RM420,000 turut disita untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 20 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Kes diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah untuk tindakan lanjut, manakala maklumat berkaitan ejen atau syarikat yang terlibat masih dalam siasatan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img