POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai aktif terlibat dalam kegiatan mencuri bateri kereta di sekitar kawasan Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihak polis menerima sebanyak 17 laporan polis sejak Oktober 2025 melibatkan kes kecurian bateri kereta membabitkan mangsa yang berbeza.
Menurut beliau, suspek berusia 27 tahun yang merupakan warganegara Indonesia itu ditahan pada 6 Februari lalu hasil operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
“Suspek bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di kawasan Dato Senu, Sentul dan dipercayai menjalankan kegiatan mencuri bateri kereta secara aktif di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek kini direman sehingga 21 Februari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, kejayaan tangkapan itu membantu polis menyelesaikan beberapa kes kecurian bateri kereta yang berlaku di kawasan berkenaan.
Ahmad Sukarno berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras jenayah.


